KUALA TERENGGANU: Rangka gajah Asia (elephas maximus) bakal menjadi tarikan baharu apabila dipamerkan di Galeri Ilmu Kejadian, Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) selepas ia berjaya dibentuk semula hasil Bengkel Kurasi Tulang Gajah, yang dijalankan sebelum ini.
Pengarah Muzium Negeri Terengganu Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, bengkel berkenaan diadakan pada 1 hingga 4 Disember lalu dengan kerjasama Muzium Alam Semulajadi, Kuala Lumpur dan Bahagian Sumber Alam LMNT.
Menurutnya, spesimen rangka gajah itu berjaya dibentuk walaupun hanya 110 tulang berjaya ditemui, sedangkan kebiasaannya rangka gajah Asia yang lengkap terdiri daripada 326 hingga 351 tulang.
Katanya, spesimen itu dipercayai daripada gajah jantan dan dianggarkan berusia kira-kira lima hingga 10 tahun berdasarkan keadaan gading yang belum tumbuh serta gigi yang masih belum gugur.
“Hipotesis awal mendapati gajah itu mati akibat sakit secara semula jadi, manakala bangkai gajah berkenaan ditemui mati berhampiran jalan di kawasan Hutan Simpan Kampung Pasir Raja, Dungun pada 8 April 2010.
“Perolehan koleksi tulang berkenaan sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu dan direkodkan secara rasmi sebagai koleksi Lembaga Muzium Negeri Terengganu,” katanya.
Menurutnya, cabaran dalam proses pemulihan rangka gajah berkenaan adalah kesukaran apabila jumlah tulang yang ditemui tidak mencukupi sehingga memerlukan pembuatan replika bagi menggantikan tulang yang hilang.
Beliau berkata, saiz tulang gajah yang besar dan berat juga memberikan cabaran ketika proses pemasangan rangka dilakukan. – Metro
