Oleh BAZLI RAZAK
TANJONG MALIM – Seramai 20 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima sumbangan tablet daripada Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) sempena kunjungan hormat delegasi MBPG ke UPSI, kelmarin.
Sumbangan itu disampaikan oleh Datuk Bandar MBPG, Datuk Mustaffa Kamal Shamsudin kepada pelajar daripada keluarga B40 dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Fakulti Pembangunan Manusia, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pihak universiti amat menghargai sumbangan berkenaan yang disifatkan sebagai satu inisiatif prihatin dan signifikan dalam membantu pelajar yang kurang berkemampuan mendapatkan akses kepada kemudahan teknologi terkini bagi tujuan pembelajaran.

“Tablet yang disumbangkan ini bukan sekadar alat digital, tetapi merupakan simbol sokongan dan keprihatinan MBPG terhadap masa depan generasi muda.
“Ia akan memberi impak besar kepada proses pengajaran dan pembelajaran, lebih-lebih lagi dalam era pendigitalan pendidikan hari ini,” katanya.
Tambah beliau, sumbangan tersebut selari dengan agenda UPSI dalam memperluas akses pendidikan berkualiti melalui penggunaan teknologi, seiring dengan Pelan Strategik UPSI dan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkukuh ekosistem pembelajaran digital.
“UPSI sentiasa menyokong kerjasama strategik dengan pelbagai agensi luar, khususnya pihak berkuasa tempatan, bagi memacu pembangunan pendidikan dan komuniti secara bersama.
“Inisiatif seperti ini juga mencerminkan semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai keprihatinan, kesejahteraan dan kemampanan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar jaringan kerjasama antara UPSI dan MBPG dapat diperluas kepada bidang-bidang lain seperti penyelidikan, latihan industri, program kemasyarakatan dan pemerkasaan bakat mahasiswa.
Sementara itu, Datuk Haji Mustaffa Kamal berkata, kunjungan hormat tersebut bertujuan menjalin kolaborasi strategik bersama institusi pendidikan dalam memperkasa penglibatan bersama dalam pembangunan di Pasir Gudang.
“UPSI sebagai sebuah institusi pendidikan unggul mampu memberikan pandangan dan idea bernas dalam usaha kami memurnikan Pelan Strategik Majlis Bandaraya Pasir Gudang 2026-2030, yang kini sedang digarap,” tambahnya.
Beliau berkata, MBPG komited untuk membentuk pelan strategik yang berdaya laksana serta boleh dijadikan asas rujukan dalam merancang pembangunan bandar yang inklusif dan berimpak tinggi.
“Kami juga ingin mewujudkan jaringan kerjasama yang menyumbang ke arah tadbir urus yang komprehensif dan kolaboratif, sejajar dengan aspirasi MBPG untuk membangunkan Pasir Gudang sebagai sebuah bandar yang lestari,” katanya.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin; Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed; Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Dr. Mohd Izwan Shahril; Ketua Pegawai Digital, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad; Ketua Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd. Amin Ahmad; YB Adun Tiram, Azizul Bachok; Pegawai Perubatan MBPG, Dr. Siti Sarah Shukor. – Suara Timur