KOTA BHARU: Polis Kelantan menjangkakan hampir 50 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok Kelantan-Thailand akan dirobohkan sehingga akhir bulan ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sebanyak 25 pangkalan haram sudah dirobohkan sejak bulan lalu sehingga kini membabitkan daerah Tanah Merah dan Pasir Mas.
“Kita jangkakan 20 pangkalan haram lagi sempat dirobohkan sehingga akhir bulan ini memandangkan masih berbaki dua minggu lagi.
“Pemantauan kita mendapati tiada cubaan dilakukan untuk membina semula jeti yang sudah dirobohkan setakat ini namun pemantauan berterusan akan dilakukan.
“Cuma apa yang kita kesan adalah maklumat merobohkan jeti pangkalan haram ini bocor sehingga rakit yang digunakan dan ditempatkan di sebelah Kelantan beralih dengan meletakkan di sebelah Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjek (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, susulan penutupan sempadan menggunakan pangkalan haram sejak Disember 2024, penurunan kes jenayah rentas sempadan menurun.
“Sebagai contoh, sebelum penutupan pangkalan haram, mereka yang merentas sempadan menggunakan pangkalan haram adalah sehingga 500 sehari dengan deretan kereta di parkir sepanjang sempadan.
“Namun kini hanya 10 peratus sahaja yang masih berdegil dan menggunakan pangkalan haram,” katanya. – Metro
