Home NegeriTinggal di rumah rakit sebab tak mampu bayar sewa

Tinggal di rumah rakit sebab tak mampu bayar sewa

oleh suara timur

TUMPAT: Kejadian banjir besar yang berlaku dua tahun lalu tidak mematahkan semangat Wan Suhaimi Wan Sulung, 39, untuk meneruskan pekerjaannya sebagai nelayan pantai walaupun berdepan pelbagai kesulitan.

Kerugian mencecah RM13,000 yang dialami ditambah lagi dengan hutang peribadi yang perlu dilangsaikan sehingga kini menyebabkan Wan Suhaimi terpaksa juga turun juga ke laut demi kelangsungan hidup.

Menetap di rumah rakit bersama anak perempuannya, Wan Nurul Balqis, 12, selepas bercerai, kehidupan mereka berdua ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Menurut Wan Suhaimi, dia perlu mengutamakan pembayaran hutang terlebih dulu.

banner

“Selain itu, saya juga masih lagi mengusahakan penternakan ikan sangkar walaupun bilangan ikan agak sedikit selepas dilanda banjir dua tahun lalu.

“Hanya 600 ekor saja yang diternak sekarang dan sesetengahnya sedang menunggu waktu sesuai untuk dijual. Saya perlu membayar hutang bank setiap bulan dengan pembelian bot fiber beberapa tahun lalu.

“Saya juga perlu mencari modal lain untuk tambahkan bilangan ikan siakap dan talapia yang diternak selain kos makanannya yang agak besar. Disebabkan tidak mampu, saya kerap memberikan kepala ikan yang diperoleh dari tempat memproses keropok sebagai makanan ikan ternakan saya ini,” katanya.

Dia ditemui di rumah rakitnya di Kampung Banjir, Pengkalan Kubor, di sini, ketika menerima kunjungan rombongan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan.

Kunjungan sempena program Sahabat Maritim itu turut dihadiri Ketua Pos Maritim Pengkalan Kubor, Left Madya (M) Mohd Yuskhairul Alhasis Mat Yunus yang menyampaikan bakul makanan serta baucer RM100 untuk pembelian kelengkapan sekolah anak Wan Suhaimi.

Menurut Wan Suhaimi lagi, kehidupan di rumah rakit tidak setenang di darat kerana selain kurang dari segi keselesaan, agak berisiko juga ketika musim tengkujuh terutama jika banjir melanda.

“Ketika banjir besar dua tahun lalu, paras air yang naik memang tinggi sehingga menenggelamkan laluan kayu yang kami gunakan.

“Setiap kali keluar ke laut, saya akan tinggalkan anak perempuan di rumah ibu dan akan menjemputnya apabila pulang dari menangkap ikan, begitulah rutin harian.

“Bukan tidak mahu mencari rumah sewa di darat tapi saya bimbang tidak mampu membayar sewanya memandangkan saya sekarang dalam fasa untuk bangkit semula,” katanya. – Metro

Tinggalkan komen