Home NegeriLima sekeluarga bimbang ancaman tanah runtuh berpunca daripada aktiviti perlombongan

Lima sekeluarga bimbang ancaman tanah runtuh berpunca daripada aktiviti perlombongan

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Lima sekeluarga yang tinggal di Felda Neram 2, Bandar Cheneh Baru, di sini, berharap pihak berkaitan dapat segera menyelesaikan kejadian runtuhan tanah yang mengancam keselamatan mereka dipercayai akibat aktiviti perlombongan berhampiran kawasan kediaman mereka.

Masalah yang berlarutan sejak dua tahun lalu itu kini dilaporkan semakin serius sehingga menjejaskan sekurang-kurangnya dua keluarga apabila aliran air bercampur tanah dari kawasan berbukit mengalir masuk ke kawasan rumah mereka.

Tinjauan mendapati mendapan tanah dan lumpur semakin menghampiri rumah penduduk, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka, terutama ketika hujan lebat.

banner
SHAHIRAN Baharom meninjau kesan tanah runtuh di belakang rumahnya di Felda Neram 2, Bandar Cheneh Baru, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Penduduk mendakwa setiap kali hujan berterusan, aliran air bercampur tanah dari kawasan bukit akan memasuki kawasan kediaman, menyebabkan struktur tanah menjadi tidak stabil, selain gegaran akibat aktiviti perlombongan yang dipercayai mengakibatkan kerosakan pada kediaman.

Seorang penduduk, Suziwati Mohd Shakri, berkata, keadaan rumahnya semakin terjejas dengan kerosakan pada longkang, mozek serta dinding, selain terdapat bata yang tertanggal akibat gegaran berterusan.

“Keadaan rumah tak sempurna apabila dibaiki lepas itu rosak lagi malah dinding rumah semakin retak,” katanya ketika ditemui hari ini.

SHAHIRAN Baharom (kiri) dan Suziwati Mohd Shakri (kanan) bersama
Dr. Mohd Zaki Mohd Salleh (tengah). – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Seorang lagi penduduk, Shahiran Baharom, berharap pihak terlibat dapat menunaikan janji melaksanakan langkah mitigasi seperti pemasangan kavium, penghamparan kain geotekstil dan pembinaan sistem perparitan bagi mengawal aliran air dari kawasan bukit.

“Saya bimbang berlaku runtuhan bukit berdekatan rumah lebih serius sekiranya tiada tindakan diambil,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) DUN Air Putih, Dr Mohd Zaki Mohd Salleh, berkata pihaknya telah mengemukakan laporan berhubung perkara tersebut kepada beberapa agensi berkaitan.

“Kes ini telah dilaporkan kepada pihak FELDA, Jabatan Alam Sekitar serta Pejabat Tanah dan Galian untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berharap pemeriksaan segera dapat dijalankan serta langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian lebih buruk pada masa hadapan. – Suara Timur

Tinggalkan komen