SEREMBAN: Penjawat awam wanita di negeri ini diberikan kelonggaran untuk pulang lebih awal, iaitu pada pukul 2 petang setiap Jumaat sepanjang Ramadan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kelonggaran berkenaan hanya membabitkan pekerja di bawah pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri.
“Ini adalah pelaksanaan waktu bekerja fleksi khas bulan Ramadan tahun 2026 bagi penjawat awam wanita di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan. Jadi hari Jumaat mereka akan bekerja sehingga pukul 2 petang.
“Lepas orang lelaki datang, mereka balik. Ini melibatkan lebih kurang 2,496 penjawat awam wanita di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, bantuan khas kewangan kepada 57,000 pekerja Kerajaan Persekutuan di negeri ini membabitkan peruntukan sebanyak RM17 juta akan diberikan pada 14 March hadapan iaitu sebelum sambutan hari raya Aidilfitri. – Kosmo
