Home NegeriSK Tembila pertahan kejuaraan Bicara Berirama Kepenggunaan Terengganu

SK Tembila pertahan kejuaraan Bicara Berirama Kepenggunaan Terengganu

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KUALA TERENGGANU: Sekolah Kebangsaan (SK) Tembila, Besut mempertahankan kejuaraan Pertandingan Bicara Berirama Kepenggunaan Peringkat Negeri Terengganu 2026 di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini hari ini.

Kemenangan itu membolehkan SK Tembila mewakili Zon Timur ke peringkat kebangsaan pada Festival Pengguna (CONFEST) KPDN 2026 yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan September ini.

Pada penyertaan tahun lalu, pasukan berkenaan turut mencipta kejayaan apabila meraih tempat ketiga di peringkat kebangsaan.

banner
PESERTA Pertandingan Bicara Berirama Kepenggunaan Peringkat Negeri Terengganu 2026 bergambar kenangan selepas pertandingan di Kuala Terengganu, hari ini.

Pertandingan tersebut dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu.

Pertandingan itu melibatkan 121 murid daripada 11 sekolah rendah pada peringkat saringan dan bertujuan menyemai kesedaran mengenai hak serta tanggungjawab pengguna dalam kalangan generasi muda menerusi pendekatan kreatif, interaktif dan didik hibur.

Daripada 11 sekolah yang bertanding, lima pasukan mara ke peringkat akhir dengan mempersembahkan bicara berirama bertemakan kepenggunaan yang menggabungkan penyampaian mesej, kreativiti dan persembahan berkumpulan.

SK) Tembila, Besut mempertahankan kejuaraan Pertandingan Bicara Berirama Kepenggunaan Peringkat Negeri Terengganu 2026 di Kuala Terengganu, hari ini.

SK Kuala Kemaman muncul naib johan, diikuti SK Kampung Baru Kerteh, Kemaman di tempat ketiga, SK Seri Iman, Kemaman (keempat) dan SK Bukit Tumbuh, Kuala Nerus (kelima).

Sementara itu, Syed Muhammad Fakhrul Amsyar Syed Mohd Faizal dari SK Kampung Baru Kerteh, Kemaman dinobatkan sebagai Konduktor Terbaik atas persembahan cemerlang dalam mengendalikan pasukannya sepanjang pertandingan.

Majlis perasmian disempurnakan Pengarah KPDN Negeri Terengganu Mohd Mufsi Lat, manakala turut hadir Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Murid yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Wan Ruslan Wan Ramli, pegawai pendidikan daerah, pegawai kanan KPDN Negeri Terengganu serta guru besar sekolah yang bertanding.

Sementara itu, Mohd Mufsi berkata pertandingan itu merupakan kesinambungan program sempena Hari Pengguna Kebangsaan yang disambut pada 15 Mac setiap tahun, selaras dengan tema Hari Pengguna 2026, “Suara Kita Kuasa Kita” (Our Voice Our Power).

“Tema ini membawa maksud bahawa pengguna mempunyai kuasa melalui suara dan tindakan serta digalakkan untuk aktif menyatakan pandangan, membuat aduan, memberikan maklum balas dan melaporkan sebarang penipuan melalui saluran yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata isu kepenggunaan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan dan muafakat semua pihak bagi membentuk masyarakat yang peka terhadap hak dan tanggungjawab sebagai pengguna.

Menurutnya, penganjuran pertandingan itu turut menjadi platform untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja memahami hak mereka sebagai pengguna, malah berani bersuara, membuat pilihan secara bijak dan membantu mewujudkan ekosistem perdagangan yang lebih adil serta telus.

KPDN turut memperkenalkan lagu tema rasmi “Aktivisme Pengguna: Suara Kita Kuasa Kita” sebagai medium meningkatkan kesedaran masyarakat supaya lebih prihatin, berani bersuara dan mempertahankan hak sebagai pengguna bijak.

Mohd Mufsi berkata penganjuran program seumpama itu akan terus diperkasakan sebagai medium pendidikan kepenggunaan bagi melahirkan generasi pengguna yang bijak, berani bersuara dan bertanggungjawab.
– Suara Timur


Tinggalkan komen