Home NasionalAMAR perlu diinstitusikan sebagai ekosistem integriti di universiti – SPRM

AMAR perlu diinstitusikan sebagai ekosistem integriti di universiti – SPRM

oleh suara timur

Oleh BAZLI RAZAK

TANJONG MALIM: Gerakan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) perlu diinstitusikan sebagai sebahagian daripada budaya dan ekosistem universiti bagi memastikan perjuangan membanteras rasuah terus diwarisi daripada satu generasi mahasiswa kepada generasi seterusnya.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk TPj Ahmad Nizam Ismail berkata AMAR tidak seharusnya hanya aktif ketika program atau konvensyen tertentu, sebaliknya perlu bergerak secara berterusan berasaskan sistem, prinsip dan nilai integriti.

“Penginstitusian membawa maksud kita sama-sama mahu membina sesuatu yang mampu bertahan merentasi generasi.

AHMAD Nizam ketika berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen AMAR Kali Ke-10 Tahun 2026 di Dewan Kolej Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, Tanjong Malim.. – SUARA TIMUR/BAZLI RAZAK

“Kita tidak mahu AMAR hanya dikenali apabila berlangsungnya konvensyen, sebaliknya kita mahu AMAR menjadi sebahagian daripada budaya universiti, menjadi ekosistem, institusi dan legasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen AMAR Kali Ke-10 Tahun 2026 di Dewan Kolej Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI, semalam.

Beliau berkata gerakan itu perlu terus hidup bukan kerana individu tertentu, tetapi melalui sistem, prinsip dan nilai yang dapat diwariskan daripada satu generasi mahasiswa kepada generasi berikutnya.

Menurut Ahmad Nizam, usaha membanteras rasuah bukan sekadar agenda SPRM, sebaliknya merupakan agenda negara dan tanggungjawab semua lapisan masyarakat termasuk golongan mahasiswa.

Ahmad Nizam (kanan)  menyerahkan replika cek bernilai RM 1,000.00 kepada wakil Institut Pengajian Guru Kampus Sarawak Miri yang menerima anugerah AMAR terbaik Institut Pendidikan Guru pada Majlis Penutupan Konvensyen AMAR Kali Ke-10 Tahun 2026 di Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, Tanjong Malim – SUARA TIMUR/BAZLI RAZAK



Katanya, cabaran negara pada masa kini bukan hanya berkaitan pembangunan ekonomi, teknologi atau pencapaian pendapatan tinggi, tetapi turut merangkumi usaha membina sebuah negara yang mempunyai nilai integriti tinggi.
“Apabila integriti mula dianggap sebagai pilihan, ketika itulah masa depan sesebuah negara mula dipertaruhkan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Kolej Ungku Omar UPSI merangkap Pengerusi Majlis Pengetua Kolej Prof. Dr. Mohd Nizam Nasrifan berkata tema konvensyen tahun ini, “Memperkukuh Penginstitusian AMAR, Memangkin Kelestarian Literasi Mahasiswa”, amat bertepatan dengan keperluan semasa dalam memperkukuh peranan mahasiswa sebagai barisan hadapan menyebarluaskan agenda integriti.

Beliau berkata AMAR yang ditubuhkan pada 2007 kini berada pada fasa yang memerlukan pengukuhan dari aspek struktur, kepimpinan, strategi advokasi dan kelestarian gerakan bagi memastikan ia terus relevan dalam mendepani cabaran semasa.

Mohd Nizam berkata sepanjang tiga hari konvensyen, peserta didedahkan kepada pelbagai sesi perkongsian ilmu, forum, bengkel dan perbincangan strategik yang memberi nilai tambah kepada pembangunan kepimpinan mahasiswa berintegriti.

Katanya, perbincangan merangkumi aspek identiti gerakan, kepimpinan berteraskan integriti, penggunaan platform digital seperti MACCampus serta pendekatan komunikasi antirasuah yang lebih kreatif dan berkesan.

“Pendidikan antirasuah tidak boleh terbatas kepada pengetahuan dan kesedaran semata-mata. Sebaliknya, ia perlu diterjemahkan melalui tindakan, amalan dan budaya yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian warga universiti,” katanya.

Pada majlis sama, Anugerah AMAR Terbaik turut disampaikan kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi kategori Universiti Awam, Universiti Antarabangsa (UNITAR) bagi kategori Universiti Swasta, Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak, Miri bagi kategori Institut Pendidikan Guru serta Institut Kemahiran MARA Beseri bagi kategori Institut Pengajian MARA, dengan USIM, UNITAR dan IKM Beseri masing-masing menerima wang tunai RM1,000. – Suara Timur

Tinggalkan komen