Home NasionalAgihan pendapatan ASB 5.75 sen seunit

Agihan pendapatan ASB 5.75 sen seunit

oleh suara timur

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Jumlah pembayaran keseluruhan adalah sebanyak RM10.4 bilion dan akan memberi manfaat kepada 11.4 juta pemegang unit ASB.

ASB mengekalkan kadar pengagihan dividennya berbanding tahun 2024 dan terus memberikan pulangan mampan yang mengatasi pasaran apabila ia berjaya meningkatkan jurang daya saing berbanding penanda arasnya, iaitu kadar Deposit Tetap 12 Bulan Maybank, yang mencatatkan kadar purata 2.29 peratus kepada 346 mata asas.

Prestasi pengagihan dividen yang kukuh dan berterusan itu dicapai dalam persekitaran pasaran ekuiti awam domestik yang mencabar, di mana FBM KLCI mencatat pulangan harga sebanyak -0.3 peratus sehingga kini bagi tahun 2025.

banner

Pasaran ekuiti domestik terjejas oleh aliran keluar dana asing yang berterusan serta sentimen pelabur yang berhati-hati, meskipun prestasi asas ekonomi Malaysia kekal positif dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 dijangka mencapai antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus, kemasukan pelaburan yang ketara serta pengukuhan nilai ringgit yang meningkat sebanyak 8.7 peratus kepada RM4.09 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS).

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dalam satu kenyataan berkata, selama lebih 46 tahun, PNB telah diamanahkan untuk melindungi simpanan hasil titik peluh rakyat.

“Kami berbesar hati dapat mengekalkan pengagihan dividen ASB sebanyak 5.75 sen, dengan jumlah pembayaran RM10.4 bilion, iaitu jumlah pengagihan tahunan tertinggi yang dibayar sejak penubuhan ASB.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif pengagihan pendapatan ASB sebanyak RM206.7 bilion, mencerminkan ketahanan dan kekuatan portfolio pelaburan ASB,” katanya.

Mengulas lanjut, Raja Arshad berkata, pihaknya juga menyedari cabaran yang lebih besar iaitu kekurangan simpanan dan keperluan untuk memupuk tabiat menabung yang lebih kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

Justeru, beliau berkata, PNB merancang untuk mempergiatkan usaha literasi kewangan, berpandukan matlamatnya untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.

Pengiraan pengagihan pendapatan ASB adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut. Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2026.

Transaksi bagi ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, akan digantung sementara dari 27 hingga 31 Disember 2025.

Pemegang unit boleh menyambung semula transaksi melalui semua saluran dalam talian dan perbankan internet bermula 1 Januari 2026, dan di mana-mana cawangan dan ejen ASNB mulai 2 Januari 2026. – Berita Harian

Tinggalkan komen