Home NasionalJenazah Konstabel Muhammad Raimi selamat dikebumikan

Jenazah Konstabel Muhammad Raimi selamat dikebumikan

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

DUNGUN: Jenazah Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, anggota polis yang meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik di Beaufort, Sabah petang Khamis, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh Dua, tengah malam tadi.

Terdahulu jenazah Allahyarham Muhammad Raimi tiba di perkarangan rumah keluarganya di Felda Kerteh Dua, Dungun kira-kira pukul 11.30 malam.

Jenazah Allahyarham telah disolatkan di rumah berkenaan sebelum di bawa ke Tanah Perkuburan Felda Kerteh Dua untuk dikebumikan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

JENAZAH Allahyarham Muhammad Raimi disolatkan di rumahnya di Felda Kerteh 2, Dungun, malam tadi.

Solat jenazah Allahyarham diImankan oleh
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Satiful Bahari Mamat.

Lebih 200 ahli keluarga, penduduk kampung dan rakan taulan serta 20 anggota polis dan pegawai hadir mengiringi pengebumian Allahyarham dan selesai pukul 1.15 pagi.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham Muhammad Raimi diiringi beberapa pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan sebaik tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada pukul 9.20 malam.

banner
JENAZAH hyarham Muhammad Raimi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam 
Felda Kerteh 2, Dungun, malam tadi.

Allahyarham yang masih bujang merupakan anak kedua daripada tiga beradik mula bertugas di Balai Polis Weston pada September 2024.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang Khamis lalu, tiga anggota polis maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika sedang mengait buah kelapa di Jalan Kampung Weston, Beaufort, Sabah.

Ketika kejadian, salah seorang anggota polis terbabit dipercayai menggunakan sebatang galah besi sepanjang 29 kaki untuk mengait buah kelapa sebelum galah itu terkena kabel elektrik.

Konstabel Muhammad Raimi bersama seorang lagi anggota lain yang cuba membantu mangsa turut terkena renjatan elektrik dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua anggota lain yang maut ialah Koperal Chiu Teck Siong dari Sarawak dan Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim dari Kelantan. –  Suara Timur

Tinggalkan komen