Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Kegembiraan sebuah keluarga berkelah di Pantai Sura Tengah, di sini, bertukar tragedi apabila dua beradik dilaporkan lemas ketika mandi di pantai berkenaan pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.27 pagi itu, dua beradik yang berasal dari Kampung Paya, Balai Besar di sini dikatakan lemas ketika mandi selepas dipukul ombak.
Mayat Nor Baizura Shafie, 39, ditemui jam 10.54 pagi tadi manakala pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan untuk mencari adiknya, Mohd Fazir Shafie, 37.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sharizal Samsuddin berkata, 10 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.27 pagi.

MUKHATAR A. RAHMAN
“Pasukan penyelamat berjaya menemui salah seorang mangsa selepas 25 minit pencarian dilakukan, bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Menurut Sharizal pencarian seorang lagi mangsa masih lagi diteruskan dengan menggunakan bot dan turut dibantu anggota polis dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Menurut sumber, sebelum kejadian, keluarga berkenaan yang terdiri daripada tujuh dewasa dan lapan kanak-kanak dikatakan ke pantai berkelah untuk berkelah.
Kejadian berlaku apabila kakak mangsa tiba-tiba lemas ketika mandi manakala adiknya, Mohd Fazir dikatakan ingin menyelamatkan kakaknya yang hanyut dibawa arus.

MUKHATAR A. RAHMAN
Bagaimanapun, kedua-dua mereka dikatakan hanyut dipukul ombakm dan dibawa arus ke tengah laut.
Menurut Sharizal, mayat Nor Baizura telah diserahlan kepada polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Menurutnya Sharizal, pasukan SAR sedang giat meneruskan operasi pencarian seorang lagi mangsa pada jarak lima kilometer radius. – Suara Timur
