Oleh MUKHATAR A RAHMAN
KEMAMAN: Lebih tiga tan sampah berjaya dikumpulkan sempena Program Kawalan Denggi di kawasan perumahan Taman Mawar, Kampung Tempurung, di sini hari ini.
Pengerusi Ahli Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Wan Norsuriya Wan Mokhtar berkata program selama tiga jam yang berakhir 10.30 pagi itu mengumpulkan pelbagai jenis bahan buangan termasuk rangka katil dan basikal.
“Program anjuran PPKK dan Klinik Kesihatan Batu 2 ½ dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman, kontraktor pembersihan MPK serta komuniti Taman Mawar.

“Antara aktiviti yang dijalankan ialah memeriksa pasu bunga, tayar buruk, tin kosong dan bekas yang berpotensi menakung air hujan, selain memotong rumput serta membersihkan daun kering yang menghalang saluran air,” katanya ketika ditemui Suara Timur hari ini.
Hadir sama Ketua Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Kemaman, Pakar Perubatan Keluarga Dr Nini Shuhaida Mat Harun.

Wan Norsuriya berkata program gotong-royong itu memberi tumpuan kepada usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes, khususnya di kawasan berisiko tinggi, selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan denggi.
Beliau turut menyeru orang ramai memastikan persekitaran rumah sentiasa bersih dan bebas daripada air bertakung bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes.
“Pihak kami akan menjalankan pemantauan setiap minggu bagi memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada komuniti Taman Mawar yang bergotong-royong membersihkan kawasan kediaman secara kendiri serta menyediakan sarapan kepada peserta program.
Usaha bersepadu antara agensi kerajaan dan komuniti itu diharap dapat membantu mengekang penularan demam denggi di kawasan berkenaan. – Suara Timur
