Oleh MUKHATAR A RAHMAN
KEMAMAN: Seorang kanak-kanak autisma ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus ketika bermain di Pantai Kuala Kerteh di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 minit petang itu mangsa Muhammad Syahmi Farhan Mohd Fardaus, 6, ditemukan di dasar pantai berkenaan pukul 5.43 minit petang selepas dua jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan berada bersama ibu bapanya di dalam sebuah kereta yang diparkir berhampiran pantai berkenaan.

Namun katanya, ketika ibu bapa mangsa sedang minum di dalam kenderaan itu, mangsa dipercayai keluar secara senyap-senyap dari kereta dan berlari seorang diri menuju ke pantai kira-kira 10 meter dari lokasi keretanya.
Menurutnya, ibu bapa mangsa hanya menyedari kehilangan anaknya itu selepas mendapati mangsa tiada di tempat duduk belakang kereta berkenaan.
Susulan itu, katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh dan polis serta penduduk kampung menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Mayat mangsa ditemukan kira-kira 30 meter dari pantai sebelum dibawa naik ke darat. Usaha menyelamatkan mangsa kemudian dilakukan sehingga pihak kesihatan tiba di lokasi dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.
Mohd Razi berkata, operasi mencari berdepan sedikit kesukaran berikutan arus laut yang agak kuat ketika air laut mula pasang.
Katanya,mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat. – Suara Timur
