Negeri

HSNZ cipta sejarah lakukan pembedahan tumor otak secara sedar

KUALA TERENGGANU: Jabatan Bedah Saraf Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, cipta sejarah apabila melakukan pembedahan tumor otak dalam keadaan pesakit sedar pada Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pesakit berusia 33 tahun itu dimasukkan ke wad selepas mengalami sawan fokal, kelemahan otot muka dan gangguan pertuturan.

Menurutnya, hasil imbasan had maksimum residu (MRL) ke atas pesakit terdapat kehadiran tumor pada lobus frontal kiri yang terletak berhampiran kawasan kritikal mengawal pertuturan.

“Bagi mengelakkan risiko kecacatan neurologi, pendekatan kraniotomi sedar dipilih agar pemantauan pertuturan dan fungsi motor dapat dilakukan secara langsung sepanjang pembedahan dilakukan,” katanya melalui kenyataan dimuatnaik melalui laman sosial Facebook (FB) Jabatan Kesihatan negeri Terengganu (JKNT).

Difahamkan, pegawai dan pasukan perubatan Jabatan Bedah Saraf mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk melakukan pembedahan dalam keadaan pesakit sedar itu.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, sesi persediaan dan latihan pra operasi dilakukan bersama pesakit sebelum pembedahan dilakukan.

Katanya, pesakit diberi bius setempat dan ubat penenang sebelum dibawa ke fasa sedar untuk penilaian fungsi neurologi oleh pasukan neurologi dan psikiatri sepanjang pembedahan dilakukan.

“Proses pembedahan termasuk mengeluarkan tumor berjaya dikeluarkan dengan teliti oleh pakar bedah saraf dengan menggunakan mikroskop dan teknologi pembedahan berpandukan imej (IGS).

“Prosedur berjalan lancar tanpa komplikasi dan pesakit dibenarkan pulang pada Sabtu iaitu dua hari selepas menjalani pembedahan,” katanya.

Dr Kasemani berkata, pesakit berada dalam keadaan bebas sawan dan tidak mengalami sebarang defisit neurologi. – Harian Metro

Related Posts