KUALA TERENGGANU : Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan kira-kira 3,000 lot tapak bazar di dua daerah iaitu di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pada Ramadan tahun ini.
Datuk Bandar MBKT, Datuk Rosli Latif berkata, sebanyak 12 tapak bazar ramadan disediakan di daerah Kuala Terengganu, manakala bakinya tujuh lokasi di daerah Kuala Nerus.
“Kita juga turut menyediakan empat tapak bazar Aidilfitri di kawasan bandaraya Kuala Terengganu dan satu di daerah Kuala Nerus.
“Tapak bazar ramadan dan bazar Aidilfitri akan dikendalikan Persatuan Peniaga dan Penjaja serta Persatuan Kebajikan,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.
Selain itu, beliau berkata, MBKT turut menyediakan tiga perkampungan moreh sepanjang Ramadan untuk memeriahkan lagi sambutan bulan mulia itu.
“Tiga perkampungan moreh tersebut ialah di Jalan Persinggahan, tapak payang walk dan di Pulau Warisan untuk memberi peluang kepada orang ramai berbuka, bermoreh atau bersahur dengan rakan dan saudara mara.
“Peluang perniagaan ini diharap dapat merancakkan lagi kemeriahan sambutan Ramadan di Terengganu,” katanya. – Suara Timur