Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Penduduk Kampung Dendang, dekat sini bimbang dengan ancaman seekor gajah liar yang sebelum ini berkeliaran di kawasan kampung kini muncul semula dan merosakkan tanaman mereka sejak seminggu lalu.
Mamalia liar itu telah memusnahkan pelbagai tanaman penduduk seperti pisang dan kelapa.
Malah gajah liar tersebut kini dikesan berkeliaran di kawasan berdekatan rumah penduduk penduduk dengan jarak tidak sampai 500 meter dari lokasi sebelum ini.
Seorang penduduk, Suhaila Yaakub, 50, berkata, pengalaman berdepan dengan binatang liar berkenaan dua hari lepas menyebabkan dia dan keluarga berada dalam kebimbangan.

Menceritakan semula kejadian, dia berkata, ketika kejadian dia sedang berjalan kaki ke masjid berdekatan untuk solat Subuh dan terkejut apabila melihat haiwan itu di seberang jalan dekat rumahnya.
Selepas terkejut melihat haiwan itu, katanya, dia berpatah balik dan masuk ke rumah serta menghubungi pihak pengurusan kampung memaklumkan kejadian itu.

“Saya terkejut apabila melihat gajah berbadan besar berkeliaran di kawasan kampung ini dab saya takut sekiranya gajah itu datang menyerang.
“Malah, penduduk juga semakin bimbang kerana gajah liar itu sudah berada terlalu hampir dengan perumahan mereka dan boleh mengancam keselamatan khususnya kanak-kanak,” katanya ketika ditemui hari ini.
Seorang lagi penduduk, Rosmadi Mat Zali, berkata, keadaan tersebut menyebabkan penduduk berhati-hati apabila keluar dari rumah untuk urusan seharian kerana bimbang terserempak dengan gajah tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika dihubungi berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memantau rapi dan berusaha menghalau gajah liar itu ke hutan simpan berdekatan.
Menurut Ghazali, tindakan untuk menangkap dan memindahkan gajah berkenaan akan dilakukan jabatan itu sekiranya usaha menghalaunya tidak berjaya. – Suara Timur
