Negeri

Runner’ wanita seludup petrol bersubsidi ke Thailand dicekup

TUMPAT – Cubaan seorang wanita untuk menyeludup petrol bersubsidi ke Thailand berjaya digagalkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan di Kampung Jejulok, Simpangan di sini pada Rabu.

Tangkapan tersebut dibuat pada jam 9 pagi selepas pasukan menahan sebuah kenderaan jenis Proton Wira yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemui tangki yang telah diubah suai dan mengandungi kira-kira 140 liter petrol yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Pemandu kenderaan terbabit merupakan seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penghantar.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM11,287 termasuk kenderaan yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan itu,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Menurut beliau, kesemua rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran yang sah. – Sinar Harian

Related Posts