KEMAMAN: Seramai 15 pelajar tajaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berjaya menamatkan latihan Kursus Oil & Gas Onshore hasil kerjasama High Skills Technology Sdn Bhd (HiSTEC) dan Ranaco Education and Training Institute (RETI), sekali gus membuka peluang kepada mereka menceburi industri minyak dan gas.
Mereka menerima sijil tamat latihan pada Majlis Tamat Latihan Pelajar Tajaan MAINS yang berlangsung di Kampus RETI di Kawasan Perindustrian Jakar, di sini, hari ini.
Sijil disampaikan Pengarah Jabatan Zakat MAINS, Mahadi Ali.
Ketua Pegawai Operasi RETI, Kapten Saad Din berkata kejayaan program itu membuktikan sinergi antara MAINS, HiSTEC dan RETI dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri minyak dan gas.

Beliau berkata sepanjang mengikuti latihan selama tiga minggu bermula 5 Julai lalu, peserta didedahkan dengan pembelajaran teori dan latihan praktikal mengikut piawaian keselamatan serta keperluan industri.
“Pensijilan yang diterima bukan sekadar sekeping sijil, malah menjadi pengiktirafan terhadap tahap kesediaan, pematuhan aspek keselamatan dan kebolehan teknikal peserta untuk memasuki alam pekerjaan dalam industri minyak dan gas bertaraf antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Turut hadir Pengarah Eksekutif HiSTEC, Tengku Rosmin Farhan Tengku Mohd Amin; Pengarah HiSTEC, Mohd Ghazale Hashim; Pengurus Pemasaran HiSTEC, Mohamad Zafran Mohd Ghazale; serta pegawai MAINS, Halina Mohd Noor dan Mohamad Asyraf Abdul Aziz.
Saad berkata RETI bersedia meneruskan kerjasama dengan MAINS bagi melaksanakan program tajaan pada fasa seterusnya, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai anak muda khususnya golongan asnaf memperoleh kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak tinggi.

Beliau berkata RETI juga akan memanfaatkan rangkaian rakan industri yang dimiliki bagi membantu memudah cara penempatan pekerjaan kepada graduan tajaan MAINS supaya latihan yang diberikan dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf ekonomi peserta.
Sementara itu, Mahadi pula berkata program berkenaan merupakan kerjasama julung kali antara MAINS, HiSTEC dan RETI dalam usaha memperkasakan anak asnaf melalui latihan kemahiran yang memenuhi keperluan pasaran kerja.
Beliau berkata latihan itu ditaja sepenuhnya oleh MAINS membabitkan peruntukan RM157,250 yang merangkumi yuran latihan, pensijilan profesional, penginapan, elaun serta bantuan persediaan latihan dan memulakan pekerjaan.
“Objektif program ini adalah menyediakan peluang kepada anak asnaf fakir miskin meningkatkan kemahiran dan memperoleh pensijilan profesional bertaraf industri dalam bidang minyak dan gas, selain membina keyakinan diri supaya mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan.

Mahadi berkata MAINS memperuntukkan kira-kira RM30 juta setiap tahun bagi sektor pendidikan meliputi peringkat prasekolah hingga pengajian tinggi termasuk latihan TVET sebagai pelaburan jangka panjang dalam memperkasakan pendidikan dan ekonomi umat Islam di Negeri Sembilan.
Beliau berkata MAINS mengunjurkan kutipan zakat sebanyak RM163 juta tahun ini, manakala pada tahun lepas agensi itu berjaya mengutip RM193 juta dan mengagihkan RM180 juta kepada golongan asnaf yang layak.
Pada masa sama, beliau mengingatkan para graduan supaya tidak melupakan jasa ibu bapa yang menjadi antara faktor mereka terpilih mengikuti program tajaan itu, selain menggalakkan mereka membantu keluarga serta menunaikan zakat apabila memperoleh pekerjaan dan pendapatan yang baik bagi membolehkan lebih ramai golongan memerlukan dibantu pada masa hadapan. – Suara Timur
