Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seramai 60 anggota termasuk lima pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai digerakkan bagi memadam kebakaran hutan gambut berhampiran Stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Chukai dan tapak pelupusan sampah di Kampung Mak Chili sejak tiga hari lalu.
Pegawai Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Bomba Kasyfi Syahmi Ghazali berkata kebakaran seluas 13 hektar itu kini berjaya dipadamkan kira-kira 12.5 hektar hasil kerjasama pelbagai agensi.
Beliau berkata operasi pemadaman dilaksanakan secara penggiliran melibatkan JBPM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah Kemaman (PDK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) serta pihak pengurusan ECRL.

“Pada hari ketiga, operasi memberi tumpuan kepada baki kebakaran seluas 0.5 hektar dan usaha sedang giat dijalankan untuk memadam sepenuhnya kebakaran hari ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya antara cabaran utama operasi ialah kelajuan serta perubahan arah angin yang tidak menentu, menyebabkan kebakaran berlaku secara bertompok dan menyukarkan pemadaman secara menyeluruh.

Kasyfi Syahmi berkata JPS turut memasang pam tambahan bagi menyalurkan air dari anak sungai berhampiran ke lokasi kebakaran, manakala JAS membantu melalui pemantauan dron untuk meningkatkan keberkesanan operasi.
Beliau berkata kejadian itu turut menyebabkan asap tebal meliputi kawasan kampung berhampiran sejauh kira-kira satu kilometer.

Selain itu, tambahnya, dua jentera berat jenis jengkaut dari Pejabat Daerah Kemaman turut digunakan bagi membantu operasi pemadaman.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan kejadian kebakaran hutan dan belukar berulang. – Suara Timur
