Negeri

Penduduk Terengganu dapat dana raya?

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa kerajaan negeri masih dalam perbincangan untuk mengagihkan dana raya kepada penduduk di negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk membiayai dana tersebut.

“Kita akan cuba. Bila kata cuba, maksudnya kita berusaha.

“Sama ada dapat atau tidak. Saya rasa semua sudah sedia maklum bahawa kewangan kerajaan negeri dipegang oleh Putrajaya.

“Kita kena mohon dahulu ‘duit kita’ di sana, dan bila sampai ke sini, barulah kita boleh agihkan,” katanya ketika ditemui wartawan semalam.

Untuk rekod, sebanyak RM43.45 juta dana raya diperuntukkan untuk rakyat Terengganu pada 2023 manakala tiada sebarang dana diberikan pada tahun lalu.

Dana raya diperkenalkan oleh kerajaan negeri ketika diterajui Barisan Nasional (BN) dan UMNO sejak 2005 untuk membantu meringankan beban rakyat menyambut Aidilftri.

Bagaimanapun, pentadbiran baharu kerajaan Terengganu di bawah kepimpinam Pas kurang berminat untuk meneruskan program ini. Pada tahun 2019, hanya RM15.8 juta diagihkan, manakala 2020 dan 2021 pula tiada agihan lagi.

Namun pada 2022 iaitu tahun Pilihan Raya Umum (PRU), kerajaan negeri tiba-tiba telah berbelanja RM58.99 juta untuk program dana raya.

Pada tahun 2023 iaitu sebelum Pilihanraya Negeri, kerajaan negeri sekali lagi telah berbelanja lebih RM43 juta bagi program tersebut.  – Suara Timur

Related Posts