DUNGUN: Seorang nelayan maut sejurus bot gentian kaca dinaiki dipercayai berlanggar bot lain berhampiran di Sungai Paka di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi tadi, mangsa, Mohd Rashid Jusoh, 58, disahkan meninggal ketika menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Paka.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan keluar menangkap ikan sementara sebuah lagi bot dikendalikan lelaki berusia 73 tahun dalam perjalanan masuk ke jeti Kuala Paka.
Kedua-dua bot itu dikatakan berlanggar yang menyebabkan mangsa tercampak ke dalam sungai.
Rakan mangsa, Rosli Md Lazim,54, berkata, dia ternampak sebuah bot berada dalam keadaan terbalik ketika dalam perjalanan keluar dari muara sungai.
Katanya, dalam keadaan gelap dan berkabus itu, dia menggunakan lampu suluh untuk meninjau lokasi sebelum mengesan mangsa dalam keadaan terapung.
“Saya menghampiri mangsa dan mendapati dia masih bernyawa sebelum menarik mangsa ke dalam bot saya.
“Mangsa ketika itu sangat lemah dan tidak mampu bersuara. Saya bergegas mengemudi bot pulang ke Jeti Kuala Paka,” katanya.
Menurutnya, mangsa berapa kali muntah dan dia segera mengejarkan mangsa ke Klinik Kesihatan Paka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
“Seorang lagi nelayan yang terbabit dalam kemalangan itu hanya cedera ringan,” katanya. – Harian Metro