Home NegeriBerbaloi bida tapak Bazar Ramadan RM23,000

Berbaloi bida tapak Bazar Ramadan RM23,000

oleh suara timur

BESUT: Keputusan berani seorang peniaga sanggup membayar RM23,000 untuk mendapatkan tapak pertama dan kedua di Bazar Ramadan Kota Putera, Kampung Raja melalui proses bidaan Majlis Daerah Besut (MDB) ternyata membuahkan hasil pulangan yang lumayan.

Arsyalieaza Arsad, 42, atau lebih dikenali sebagai ‘Kak Lom’ berkata, dia mencuba nasib berniaga di bazar Ramadan berkenaan tahun ini bagi mencari pengalaman baharu.

Katanya, pada Ramadan sebelum ini, dia berniaga di Bazar Ramadan Bukit Kenak dan pada bulan lain dia berniaga di 14 lokasi pasar malam seluruh Besut secara bergilir dalam tempoh seminggu.

“Tahun ini persaingan untuk mendapat tapak bazar Ramadan agak sengit kerana sejak dari awal tular isu peniaga serbu MDB semata-mata mahu berebut membeli borang,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Kota Putera, Kampung Raja, di sini, semalam.

banner

Ibu kepada empat anak ini berkata, sudah menjadi kelaziman tapak pertama, kedua, ketiga serta keempat di Bazar Ramadan Kota Putera perlu melalui proses bidaan dengan harga permulaan bidaan RM1,000 satu tapak kerana ia menjadi tapak idaman kepada setiap peniaga.

“Sebelum ini difahamkan bidaan paling tinggi untuk tapak di situ sekitar RM6,000 sahaja namun tahun ini mencecah puluhan ribu.

“Sebenarnya hanya dua pembina sahaja yang berusaha untuk mendapatkan tapak itu saya serta seorang peniaga menjual makanan yang sebelum ini sudah empat tahun berniaga di lokasi berkenaan,” katanya.

Katanya, tapak pertama berjaya dibida dengan harga RM 10,000 dan tapak kedua dengan harga RM 13,000 menjadikan keseluruhannya berjumlah RM 23,000.

“Sebagai permulaan saya hanya menjual 15 jenis air sahaja untuk melihat sambutan pelanggan berbanding 40 jenis air di bazar Ramadan sebelum ini.

“Air yang sering menjadi pilihan pelanggan selalunya air Aroikah serta Biscoff namun banyak lagi pilihan air lain dengan harga antara RM1 hingga RM5 satu bekas atau plastik,” katanya.

Katanya, rahsia air balangnya sering menjadi pilihan pelanggan adalah kerana rasa airnya yang pekat kerana dibancuh secara berperingkat.

“Saya tidak suka bancuh air dalam kuantiti banyak sekali gus untuk memastikan rasa airnya tidak berubah sehingga berbuka puasa.

“Pada hari pertama Ramadan sambutan sangat menggalakkan dan saya membancuh air sebanyak enam kali sebelum berhenti sekitar jam 6 petang.

“Melihat sambutan pada hari pertama serta kedua, saya jangka dalam tempoh seminggu mampu mendapat semula pulangan modal bidaan tapak ini,” katanya. – Metro

Tinggalkan komen