KUALA TERENGGANU: Seorang gadis memberanikan diri menjadi penternak lebah madu kelulut setelah ditawarkan menyertai komuniti program Sejati Madani oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bukit di sini.
Siti Syazwani Abdul Rahim, 23, berkata, dia mula mengusahakan ternakan lebah kelulut pada Oktober lalu selepas mengikuti kursus penternakan lebah di Melaka.
Menurutnya, walaupun peringkat awal, dia takut diserang dan digigit lebah, namun kini, teruja apabila mula dapat menuai hasil madu kelulut pada bulan ini.
Katanya, pada masa ini, dia mempunyai enam sarang lebah di pekarangan rumahnya di Kampung Bukit dan merancang menambah lebih banyak sarang selepas ini.
“Saya dapat hasil tuaian pertama madu lebih satu kilogram daripada enam sarang tersebut dan dijangka hasil tuaian terus bertambah.
“Saya berhasrat menjadi usahawan madu kelulut yang berjaya pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Siti Syazwani yang juga bekerja sebagai juru jual di sebuah kedai runcit, memberitahu, penternakan lebah madu kelulut juga mudah diusahakan kerana tidak memerlukan penjagaan yang rapi kerana serangga tersebut mencari makanan sendiri.
“Kos menyediakan sarang lebah dan peralatan yang digunakan dalam penternakan tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP),” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi JPKKP Kampung Bukit, Mohd. Helmy Ismail, 41, berkata, Siti Syazwani merupakan antara 25 peseta komuniti di kampung itu yang mengusahakan ternakan lebah madu kelulut tersebut.
Katanya, JPP menyalurkan dana program Sejati Madani sebanyak RM100,000 kepada JPKKP kampung itu bagi menjayakan ternakan lebah madu kelulut meliputi kos kursus, sarang dan peralatan kepada semua peserta.
“Peserta projek tersebut juga dibimbing dan dipantau oleh JPP, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) serta Jabatan Pertanian untuk memastikan projek tersebut dimanafaatkan sepenuhnya peserta. – Utusan Malaysia