Negeri

Aidilfitri : 172,331 kenderaan masuk ke Terengganu

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 172,331 kenderaan dilaporkan mula memasuki Terengganu melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2)  dan jalan-jalan Persekutuan sejak Jumaat lalu pada sambutan Aidilfitri tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata,  LPT2 merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 152,331 kenderaan.

Menurutnya, lebih 20,000 kenderaan pula direkodkan masuk ke Terengganu melalui jalan-jalan persekutuan yang bersempadan dengan Pahang serta Kelantan.

“Untuk rekod di LPT2, kemasukan tertinggi ialah semalam iaitu sebanyak 65,975 kenderaan.

“Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan lancar dengan pemantauan pelbagai agensi penguatkuasaan untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Ops Selamat 24 Aidilfitri di Plaza Tol Kuala Terengganu dekat Gemuruh di sini,  hari ini.

Ops Selamat yang bermula semalam hingga 3 April depan melibatkan penugasan seramai 260 anggota dan pegawai polis di seluruh Terengganu.

Tambahnya, pihak polis juga telah mengenal pasti sebanyak 25 lokasi yang dikategorikan dalam senarai hotspot manakala 21 kawasan pula dikategorikan sebagai lokasi blackspot.

“Kawasan hotspot adalah lokasi yang sering berlaku kesesakan manakala blackspot pula lokasi yang kerap berlakunya kemalangan.

“Untuk kawasan hotspot kita  kenal pasti enam lokasi di Kuala Terengganu; Besut (lima lokasi); Marang (empat lokasi); Kemaman (tiga lokasi); Dungun (tiga lokasi), Hulu Terengganu (dua lokasi) dan Setiu (dua lokasi).

“Sementara blackspot pula  enam lokasi di Marang; Besut (empat lokasi); Kuala Terengganu (tiga lokasi); Setiu (tiga lokasi); Kemaman (dua lokasi); Hulu Terengganu (dua lokasi) dan Dungun (satu lokasi),” katanya. – Suara Timur

Related Posts