HULU TERENGGANU: Program Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama FELCRA yang dijadual diadakan di pekarangan Masjid Kampung Kuala Akob dekat sini pada Sabtu terpaksa dipindahkan ke kawasan lapang bersebelahan masjid tersebut.
Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu dalam kenyataan pada Jumaat berkata, perubahan lokasi itu dibuat susulan penolakan permohonan penggunaan pekarangan masjid oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
“Program bersama Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) merangkap Presiden UMNO tetap akan diteruskan mengikut jadual asal dengan lokasi dipindahkan ke kawasan lapang berhampiran bagi memastikan kelancaran majlis.
“Bagaimanapun, program TPM di Masjid Kuala Telemong untuk solat tarawih dan moreh yang turut dirancang sebelum ini telah dibatalkan,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M. Rozi Bidin ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
JHEAT dalam surat rasmi bertarikh 7 Mac 2025 memaklumkan permohonan itu melibatkan Masjid Kampung Kuala Akob dan Masjid Haji Abdul Rahman Limbong, Kuala Telemong.
“Dukacita dimaklumkan, permohonan pihak tuan untuk menggunakan perkarangan masjid tersebut tidak dapat dipertimbangkan,” katanya dalam surat yang dialamatkan kepada Pengarah FELCRA Negeri Terengganu.
Surat tersebut turut dimajukan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), serta Pegawai Agama Daerah Hulu Terengganu.
Bagaimanapun, alasan terperinci mengenai penolakan permohonan tersebut tidak dinyatakan dalam surat berkenaan.
Petang tadi, tular di media sosial mengenai kekecewaan beberapa pihak berikutan pembatalan itu yang didakwa bermotif politik kerana dilakukan pada saat-saat akhir.
Beberapa video dimuat naik memaparkan persiapan khemah program di tapak lokasi yang telah pun siap hampir 100 peratus namun terpaksa dipindahkan ke tempat lain. – Sinar Harian