HULU TERENGGANU: Seekor harimau kumbang mati selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 387 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1.15 pagi apabila haiwan liar itu melintas secara tiba-tiba dari arah kanan ke kiri jalan.
“Siasatan mendapati kenderaan jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 19 tahun yang dalam perjalanan dari Kelantan ke Kemaman, Terengganu.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu tidak sempat mengelak lalu terlanggar harimau kumbang tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Tambah beliau, haiwan berkenaan disahkan mati di tempat kejadian, namun pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan diklasifikasikan sebagai ‘Report Traffic Minor’.
Menurutnya, bangkai harimau kumbang itu telah diambil oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi had laju, khususnya ketika memandu di kawasan berisiko lintasan hidupan liar. – Sinar Harian