Negeri

Pesta Gagar Udang Kemaman tarikan pelancongan baharu

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Pesta Gagar Udang Kemaman 2025 yang berlangsung di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, di sini, melabuh tirai hari ini dengan penuh warna-warni dan meninggalkan kenangan indah kepada setiap para peserta dari dalam dan luar Terengganu.

Pesta ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga platform untuk meraikan keunikan budaya kampung, cita rasa tradisi, dan hasil laut segar yang sinonim dengan daerah Kemaman.

Dengan pelbagai acara menarik seperti pertandingan memasak udang galah, memancing dalam sunga dan atas tebing, pertandingan tangkap udang (gagar udang), hiking, RC Crawler, sukan air dan pertandingan mewarna kanak-kanak.

SEBAHAGIAN daripada peserta memeriahkan Pesta Gagar Udang Kemaman 2025 di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Selain itu, turut diadakan petandingan udang cantik (udang pelihara), pertandingan anyam ketupat nasi dan pulut, demonstrasi cucuk atap nipah, anyam tikar mengkuang, demonstrasi permainan tradisi dan makanan tradisional, persembahan budaya dan cabutan bertuah.

Program dua hari bermula semalam merupakan penganjuran kali kedua selepas kali pertama diadakan tahun lepas.

Perasmiannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris.

SEBAHAGIAN daripada peserta termasuk pelancong dari luar Terengganu yang menyertai Pesta Gagar Udang Kemaman 2025 di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata,  seramai 5,000 peserta dan pengunjung termasuk dari luar Terengganu hadir memeriahkan program tersebut.

“Pesta ini bukan sahaja memupuk semangat kebersamaan masyarakat, tetapi turut mempromosikan kekayaan hasil laut serta budaya kampung yang menjadi identiti daerah Kemaman.

SEORANG peserta menunjukkan seekor udang yang berjaya ditangkap pada Pesta Gagar Udang Kemaman 2025 di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Sukan air merupakan aktiviti yang mencabar seperti panjat tiang, lumba bot faber, tangkap itik, menyelam, tarik tali, pukul bantal.

“Sukan air kali ini menjanjikan keseronokan berganda dari sukan lumba perahu hingga sukan panjat tiang licin, semuanya menggabungkan kekuatan, keseimbangan dan kerja berpasukan,” katanya ketika ditemui Suara Timur, hari ini.

MOHD Hafiz Adam menyalakan meriam buluh pada Pesta Gagar Udang di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman, hari ini. –  SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Pesta gagar udang mempertandingkan sembilan kategori iaitu tangkap udang terpantas, udang terbanyak dan paling berat, seekor udang terberat, tertangkap ikan baung, tertangkap ikan terebur, masakan udang galah, udang galah cantik (udang pelihara), memancing (sungai) dan memancing udang galah (tebing).

Mohd Hafiz berkata, gagar udang merupakan tangkap udang dengan tangan yang memerlukan kemahiran tinggi dan menguji keberanian, kepekaan serta emosi.

PERTANDINGAN  anyam ketupat turut diadakan bagi memeriahkan Pesta Gagar Udang di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Jelasnya, aktiviti tersebut juga salah satu warisan budaya turun-temurun yang hampir pupus dan perlu dihidupkan semula agar generasi baru dapat menghayati cara orang terdahulu menangkap udang sebelum adanya kemudahan seperti sekarang

“Program gagar udang boleh menjadi satu tarikan pelancongan bagi negeri Terengganu dan khususnya bagi daerah Kemaman, selain secara tidak langsung dapat memperkenalkan produk kampung dan kawasan pelancongan baharu,” ujarnya.

SEBAHAGIAN daripada peserta acara tangkap itik sempena Pesta Gagar Udang di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Malah, tambahnya, Pesta Gagar Udang Kemaman juga telah dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Negeri oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT).

Menurutnya, JPNT turut meluluskan peruntukan RM50,000 bagi menurap tar di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris meluluskan sebanyak RM15,000 sebagai tambahan bagi program Pesta Gagar Udang tahun ini. – Suara Timur

Related Posts