Home SukanVTF JADI MEDAN UC TATI BUKTI KEMAMPUAN KE PENTAS ASEAN

VTF JADI MEDAN UC TATI BUKTI KEMAMPUAN KE PENTAS ASEAN

oleh suara timur

KUALA NERUS: University College TATI (UC TATI) terus memasang impian besar dalam arena olahraga universiti apabila menyasarkan penyertaan atlet-atletnya ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) meskipun baru memasuki musim kedua dalam Kejohanan Varsity Track & Field (VTF).

Institusi pengajian tinggi yang berpangkalan di Kemaman itu optimis mampu merealisasikan hasrat berkenaan berdasarkan prestasi memberangsangkan yang dipamerkan atlet-atletnya, khususnya dalam acara jarak jauh dan lari berhalangan.

Pengurus pasukan UC TATI, Ahmad Nur Aiman Ahmad Jalani berkata, pencapaian menduduki tempat keenam keseluruhan daripada 21 universiti pada musim lalu menjadi petunjuk bahawa pasukan itu memiliki potensi untuk melangkah lebih jauh.

Katanya, acara 3,000 meter (m) lari berhalangan, 3,000m dan 5,000m kekal menjadi sandaran utama pasukan dalam usaha memburu kejayaan pada musim ini.

banner

“Beberapa atlet kami masih aktif beraksi di peringkat kompetitif dan keadaan itu memberi kelebihan dalam usaha memburu tempat ke AUG.

“Kami mempunyai kekuatan dalam acara jarak jauh dan lari berhalangan. Justeru, fokus musim ini adalah untuk meningkatkan pencapaian keseluruhan serta membawa pulang lebih banyak pingat berbanding musim lalu,” katanya kepada Suara Timur hari ini.

Pada siri pertama VTF 2026 yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) pada April lalu, UC TATI berjaya meraih dua pingat emas menerusi acara 3,000m lari berhalangan lelaki dan 400m lari berpagar lelaki.

Kejayaan itu, menurut Ahmad Nur Aiman, menjadi suntikan motivasi buat pasukan menjelang saingan siri kedua yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus.

“Seramai tujuh atlet dibawa ke siri kedua kali ini dan kami berharap dapat meneruskan momentum cemerlang yang ditunjukkan sebelum ini.

“Sudah tentu sasaran kami adalah untuk menambah pungutan pingat dan memperkukuhkan kedudukan pasukan dalam carta keseluruhan kejohanan,” katanya.

Kejohanan VTF yang diperkenalkan pada 2022 kini menjadi antara pentas utama pembangunan atlet universiti di negara ini, selain berperanan sebagai platform mengenal pasti bakat untuk mewakili negara ke kejohanan antarabangsa termasuk AUG dan Sukan Universiti Dunia FISU. – Suara Timur

Tinggalkan komen