Home SukanPiala Agong: Terengganu waspada cabaran PDRM rebut tiket penentuan akhir

Piala Agong: Terengganu waspada cabaran PDRM rebut tiket penentuan akhir

oleh suara timur

AKSI separuh akhir Kejuaraan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 hujung minggu ini menyaksikan pertemuan semula dua pasukan berprofil tinggi apabila Terengganu dijadualkan berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam perebutan tiket ke pentas final
di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada Sabtu ini.

Terengganu melangkah ke peringkat ini dengan reputasi cemerlang selepas mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kempen musim ini, namun pencapaian itu dijangka berdepan cabaran getir berdepan penyandang juara.

Dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini, Terengganu mencatat kemenangan dramatik 26-25 ke atas PDRM di laman lawan, sekali gus membuktikan keupayaan mereka untuk menyaingi pasukan berpengalaman itu.

Walaupun membawa status juara tiga musim berturut-turut, PDRM tidak terlepas daripada ketidaktentuan prestasi apabila merekodkan dua kekalahan di peringkat kumpulan, sekali gus memberi bayangan pertembungan kali ini bakal berlangsung lebih terbuka.

banner

Ketua jurulatih Terengganu, Hafiizh Zainal, menegaskan pasukannya tidak akan menjadikan rekod tanpa kalah sebagai sandaran utama menjelang aksi penting itu.

“Tekanan pastinya ada kepada kedua-dua pasukan. Terengganu bermain sebagai tuan rumah, manakala PDRM pula hadir dengan reputasi sebagai penyandang juara. Misi kami jelas untuk menang, namun kami tidak akan sesekali memandang rendah keupayaan lawan.

“Pertemuan terdahulu yang berakhir dengan kemenangan satu mata menunjukkan jurang antara kedua-dua pasukan cukup kecil dan aksi kali ini dijangka lebih sengit.

“Rekod tanpa kalah juga bukan jaminan untuk kami berasa selesa, lebih-lebih lagi apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

Aksi separuh akhir itu dijadual berlangsung pada jam 3.30 petang, Sabtu ini di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu. – Suara Timur

Tinggalkan komen