KOTA BHARU – Hantaran Facebook rasmi Masjid Jamek Muhammadi di sini mencuri perhatian warganet apabila memuat naik poster yang dilihat mirip dengan poster dikongsikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.
Poster berkenaan yang bertulis “Akan Datang: Suatu Penghargaan Luar Biasa Untuk Orang Beriman – Berjemaah di Masjid” dengan latar belakang siluet masjid, telah menarik reaksi lebih 600 tanda suka dan hampir 150 perkongsian dalam tempoh singkat.
Rata-rata pengguna media sosial terhibur dengan kreativiti hantaran tersebut yang disifatkan mengandungi mesej dakwah yang halus dan menyentuh hati.
Poster itu dilihat sebagai usaha untuk mengajak orang ramai kembali memakmurkan masjid dengan menyertai solat berjemaah serta pelbagai aktiviti keagamaan.
Terdahulu, Perdana Menteri memuat naik poster dengan mesej “Akan Datang: Suatu Penghargaan Luar Biasa Untuk Rakyat Malaysia – Bersama Malaysiaku” yang mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial mengenai pengumuman yang bakal dibuat. – Sinar Harian