Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seramai 583 graduan Ranaco Education and Training Institute (RETI) dan Ranaco Marine Sdn. Bhd. (RMSB) diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-14 Ranaco Group di Dewan Dato’ Seri Tuan Guru, Darul Iman Training Centre (DITC), Telok Kalong, di sini, hari ini.
Seramai 370 orang menerima anugerah Sijil Kemahiran dan 213 orang menerima anugerah Diploma.
Graduan tersebut menerima anugerah Sijil Kemahiran Program Pipe Gas Insulation, Program Site Safety Supervisor Level 3, Program Food And Beverage Operation Service Level 2, Program Basic Culinary, Program Pipe & Rigger Fitter dan Program Deck Rating.

Anugerah diploma pula membabitkan Diploma in Maritime Management (DMM), Diploma in Marine Cargo Surveying (DMCS), Diploma in Logistics Supply Chain (DLSC), Diploma in Nautical Studies (DNS), Diploma in Offshore Engineering (DOE) dan Diploma in Occupational Safety and Health (DIOSH).
Majlis perasmian dan penyampaian anugerah disempurnakan oleh Canselor RETI, Kapten Abdul Aziz Abdullah.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Ranaco Group, Syafiq Asyraf Mohd Yusup, Ketua Eksekutif RETI Mislaiha A. Ghani dan Pengurus RMSB, Jasrin Mohd Radin.

Bercakap kepada media, Syafiq Asyraf berkata, lebih 80 peratus graduan TVET, RETI di Kemaman telah berjaya mendapat pekerjaan sebelum mereka menamatkan pengajian.
Menurutnya, jumlah penerima anugerqh sijil dan diploma itu meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu sekaligus membuktikan graduan institut itu diterima bekerja sebelum mereka bergraduat.
“Ramai pelajar institut itu ditawarkan pekerjaan sejurus selesai menjalani latihan amali di pelbagai sektor industri dalam bidang TVET seperti sektor maritim dan perkapalan,” katanya.
Ujarnya, perkembangan itu juga membuktikan institut berkenaan telah mendapat tempat dan pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mempelajari bidang TVET.
Sehubungan itu, Syafiq berkata, RETI akan mengadakan kolaborasi dengan pelbagai pemain industri untuk menaja lebih ramai pelajar lepasan SPM yang kurang mampu untuk mempelajari bidang TVET di institut berkenaan. – Suara Timur
