Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Penduduk Rumah Awam Kos
Rendah (RAKR) Binjai di sini kesal terhadap Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) yang kurang peka dengan aduan pelanggan mengenai air dari tangki utama perumahan tersebut melimpah sejak empat tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Rumah Murah / Taman Semarak Binjai, Mohd Shahrir Abdul Rahman berkata, pelbagai aduan telah dibuat oleh penduduk RAKR Binjai dalam tempoh tersebut.
“Sehingga kini belum ada tindakan yang diambil pihak SATU untuk membaik pulih tangki utama tersebut walaupun ada wakil yang datang melihat setiap kali aduan dibuat.

“Punca air sentiasa keluar tanpa henti dari tangki kemungkinan berpunca daripada Pelampung Injap Tangki Air (Automatic Water Level Control Valve) tidak berfungsi dengan baik,” katanya.
Mohd Shahrir yang juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rumah Murah Binjai berkata demikian kepada media selepas program memasang bendera Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan yang ke 68 Peringkat Rumah Murah Binjai disini semalam.
Tangki air tersebut dibina pada tahun 1982 bagi menampung keperluan 230 buah rumah RAKR dan sekitarnya.
Mohd Shahrir memberitahu, kerajaan negeri dan SATU menanggung kerugian besar apabila jumlah besar air telah dibazirkan dalam tempoh empat tahun itu.
“Setiap hari air melimpah selama 13 jam sehari di antaranya jam 8 pagi hingga 2 petang dan 10 malam hingga 6 pagi,” ujarnya.
Tambahnya, penduduk berharap SATU mengambil tindakan segera memperbaiki kerosakan tersebut untuk mengelakkan pembaziran air itu berterusan selepas ini.
Pada 1 Ogos lalu kadar tarif air bagi pengguna domestik di Terengganu dinaikkan sebanyak lapan sen setiap meter padu bagi penggunaan hingga 20 meter padu sebulan.
Caj penggunaan minimum untuk pengguna domestik berubah kepada RM6.60 sebulan.
Pelarasan Tarif Bekalan Air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif yang berkuat kuasa telah dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Julai lalu setelah mendapat permohonan daripada SATU.
SATU sebelum ini memaklumkan memperuntukkan kira-kira RM50 juta setiap tahun bagi memperkukuh pembangunan infrastruktur bekalan air dan ia mencerminkan komitmen SATU dalam memastikan bekalan air yang stabil, berkualiti dan mampan demi kesejahteraan rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi Terengganu secara menyeluruh. – Suara Timur