KUALA TERENGGANU: Bunyi bedilan bunga api pada waktu berbuka puasa dan imsak dari Bukit Panorama, di sini, memang cukup sinonim di negeri ini setiap kali Ramadan.
Selain laungan azan, sebahagian besar penduduk di sekitar bandar raya ini bergantung pada bunyi bedilan bunga api untuk berbuka puasa dan berhenti bersahur selepas mendengar bunyi sama.
Jika waktu berbuka puasa, bunyi bedilan akan didengar sekali, namun pada waktu bersahur, bunyi bedilan akan didengar dua kali sebagai petanda tamatnya waktu sahur sepanjang Ramadan.
Bunyi bedilan yang diserikan dengan percikan bunga api itu sudah menjadi tradisi dan dinantikan penduduk tanpa mengira agama sejak puluhan tahun.
Di sebalik bunyi bedilan bunga api itu, Shafuan Shafie, 39, yang juga penyelia Piroteknik Red Flame Special Effect Sdn Bhd diberi tanggungjawab melakukan tugas itu sejak 19 tahun lalu.
Katanya, dia bersama anggota Bahagian Persenjataan dan Bahan Letupan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu akan menaiki bukit berketinggian kira-kira 600 meter dari aras laut pada jam 5 pagi dan dan 6.30 petang setiap hari untuk meletupkan bedil itu.
“Tembakan bedil sebanyak sekali akan dilepaskan bagi menandakan waktu berbuka puasa, manakala dua kali ketika waktu imsak.
“Tembakan pertama dilakukan lima minit sebelum waktu imsak dan tembakan kedua apabila masuk waktu imsak yang mana bunyi letupan akan kedengaran selepas 4.5 saat.
“Saya bergantung kepada aplikasi telefon dan radio untuk menentukan waktu berbuka serta imsak,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Selain bedilan menandakan waktu berbuka dan bersahur, tembakan sama akan dibuat sebanyak tujuh kali sehari sebelum Ramadan, malam raya dan pagi Aidilfitri selain diteruskan sehingga tamat ibadah sunat puasa enam.
Tembakan bunga api sepanjang Ramadan sudah menjadi tradisi di bandar raya ini sejak zaman Sultan Zainal Abidin III dari 1881 hingga 1918.
Sebelum 1990, penduduk Kuala Terengganu mempunyai dua isyarat untuk mengetahui waktu berbuka puasa atau imsak iaitu bunyi genta (loceng besar) dan bunyi bedil yang ditembak dari atas Bukit Puteri iaitu di tapak lama bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). – Harian Metro