Negeri

Lori makanan laut terbabas, ketam bertaburan atas jalan

KUALA TERENGGANU: Pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dikejutkan dengan kemalangan membabitkan dua lori di Kilometer 425.15 arah utara berhampiran laluan Telemong–Kuala Terengganu awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian kira-kira jam 4.10 pagi itu melibatkan sebuah lori membawa makanan laut termasuk ketam dan sebuah lagi lori membawa barangan kurier.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori jenis Hino yang membawa barangan kurier telah melanggar belakang lori Nissan yang sedang bergerak di lorong kiri.

“Akibat pelanggaran itu, lori membawa muatan makanan laut terbabas ke bahu jalan dan melanggar penghadang besi sebelum keduanya berhenti di lorong kiri,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Beliau berkata, semua pemandu dan penumpang kedua-dua lori terbabit yang terdiri daripada lelaki tempatan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan turut menyebabkan kerosakan pada aset lebuh raya termasuk rasuk besi penghadang jalan, tiang, penyambung dan dua jalur penghadang di bahu jalan.

“Trafik di lokasi berkenaan bergerak lancar walaupun lorong kiri dan lorong kecemasan ditutup sementara bagi kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Pada Selasa tular video berdurasi 30 saat memaparkan orang ramai mengutip ketam yang berterabur di atas jalan susulan kemalangan di kawasan tersebut. – Sinar Harian

Related Posts