Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN : Sebuah bot berwarna merah dan biru dipercayai milik nelayan ditemui karam di perairan Kerteh, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan bot itu yang karam di antara Perairan Penapisan Kerteh dengan Pelabuhan Kerteh , kira-kira pukul 9.05 malam daripada Polis Bantuan Petronas.
“Bot tersebut ditemui tenggelam pada kedudukan kira-kira 500 meter dari persisir pantai.
“Semasa ditemui, hanya terdapat bot dan pukat sahaja. Tiada sebarang kelibat mangsa dijumpai berhampiran kawasan bot,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Razi berkata, rondaan yang dilakukan polis bantuan menggunakan bot juga tidak menemui sebarang petunjuk.
“Bagaimanapun, setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan yang dibuat mana-mana pihak mendakwa bot karam atau ada ahli keluarga yang hilang.
“Pihak polis masih memantau berkenaan kejadian ini dari semasa ke semasa dan Jabatan Laut akan dimaklumkan bagi urusan menarik bot ke tepi,” katanya.
Terdahulu, seorang individu memuat naik video yang memaparkan sebuah bot yang ditemui karam. – Suara Timur
