Negeri

Operasi meroboh jeti pangkalan haram di Rantau Panjang bermula hari ini


RANTAU PANJANG: Operasi meroboh jeti pangkalan haram di sempadan Kelantan-Thailand bagi mengekang kegiatan penyeludupan bermula pagi ini.

Operasi rintis dijangka bermula jam 10 pagi ini membabitkan dua jeti pangkalan haram iaitu pangkalan MCA dan Parking yang terletak di pekan Rantau Panjang.

Operasi meroboh hari ini diketuai oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dijangka tiba di lokasi jam 10 pagi bagi melihat operasi rintis perobohan pangkalan haram di tanah kerajaan itu.

Media sebelum ini melaporkan, kerja meroboh 153 jeti pangkalan haram di tanah kerajaan di sempadan Kelantan-Thailand membabitkan empat daerah akan dibuat secara berperingkat.

Mohd Yusoff dilaporkan berkata, kerja meroboh jeti itu akan dimulakan di Pasir Mas sebelum daerah lain dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan. – Metro

Related Posts