Negeri

Pegawai Pertanian maut kemalangan dua kereta

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN : Seorang pegawai pertanian maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah Perodua Myvi, di Jalan Paka-Bandar Al Muktafi Billah Shah, berhampiran persimpangan lampu isyarat Plaza Tol Paka, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi,
mangsa, Nazirah Abdul Rahman, 41, yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan, meninggal di lokasi kejadian.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang tinggal di Kampung Cacar Baru, Paka, di sini, sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Pejabat Pertanian Hulu Paka di Bandar Ketengah Jaya.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan dipandu seorang lelaki, dikatakan telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan, sebelum bertembung dengan Perodua Myvi yang dipandu Nazirah.

Kejadian itu menyebabkan pemandu lelaki yang berusia 43 tahun dan penumpang wanita mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Rizuan Ramli berkata, enam anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.45 pagi.

“Kita menggunakan peralatan khas untuk menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dan kita turut membantu melakukan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kemalangan selepas kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan laporan mengenai kejadian.

Menurutnya, mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut dan mayat mangsa juga dibawa ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut. – Suara Timur

Related Posts