KUALA TERENGGANU: Cuaca panas yang melanda negeri ini bukan sahaja memberi kesan kepada rutin harian penduduk malah turut meningkatkan permintaan terhadap peralatan penyejuk seperti kipas dan pendingin hawa .
Situasi itu turut memberi rezeki kepada pengusaha kedai membaiki barangan elektrik yang kini menerima lebih banyak permintaan untuk membaiki kipas rosak.
Pemilik kedai membaiki barangan elektrik di Kampung Bukit Kubang Jambu, Muhammad Faizan Ali, 45, berkata, kebanyakan pelanggan datang dengan masalah kipas yang tidak berfungsi dengan baik atau berputar perlahan.
Menurutnya, ada juga yang membawa kipas lama untuk dibaiki semula berikutan keadaan cuaca panas.
“Dalam sehari saya boleh baiki sehingga empat kipas bergantung kepada tahap kerosakan selain mempunyai alat ganti dalam simpanan,” katanya.
Menurutnya, kadar bayaran membaiki kipas pula bermula serendah RM10 hingga RM100 bergantung kepada jenis kerosakan serta keperluan alat ganti yang digunakan.
Katanya, kebiasaannya sekiranya kadar bayaran yang tinggi kerana alat ganti perlu dibuat pesanan, dia akan memaklumkan terlebih dahulu kepada pelanggan.
“Jumlah kipas yang dibaiki antara 15 hingga 20 unit sebulan ketika musim panas berbanding hari-hari biasa hanya 10 unit sahaja.
“Setiap tahun apabila tiba musim panas akan berlaku lonjakan kerja membaiki kipas berikutan orang ramai ingin kediaman mereka berada dalam keadaan sedikit sejuk,” katanya.
Dalam pada itu, peningkatan suhu panas turut memberi kesan kepada jualan peralatan elektrik baharu apabila permintaan terhadap kipas dan pendingin hawa dilihat melonjak dengan mendadak.
Pengurus kedai elektrik, Mohd Faiz Farhan Mohamad, 38, berkata, jualan kedua-dua peralatan itu meningkat hampir tiga kali ganda berbanding bulan biasa.
“Memang nampak perbezaan ketara bulan ini malah ada juga dalam seminggu itu kami berjaya menjual sehingga 100 unit kipas dan pendingin hawa berbanding bulan sebelumnya.
“Permintaan terlalu tinggi sehingga ada pelanggan terpaksa menunggu giliran untuk pemasangan kerana juruteknik kami tidak sempat memenuhi semua tempahan,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu dijangka berterusan sekiranya cuaca panas berpanjangan sekali gus menunjukkan kebergantungan orang ramai terhadap peralatan penyejuk bagi memastikan keselesaan di kediaman masing-masing. – Metro
