KUALA NERUS: Cuti panjang bersempena perayaan Tahun Baharu Cina dimanfaatkan sepenuhnya oleh keluarga besar Mat Zin Abdullah, 104, untuk berkumpul dan menunaikan rukun Islam keempat dalam suasana harmoni.
Peluang itu dimanfaatkan lebih 100 ahli keluarga Mat Zin dari Kampung Tiang Kulat, dekat sini, untuk berbuka puasa beramai-ramai pada awal Ramadan.
Tinjauan mendapati perkampungan yang dikelilingi kediaman keluarga Mat Zin itu meriah apabila lebih 100 ahli keluarga daripada 300 ahli keluarga besar berhimpun pada iftar pertama, menjadikan suasana awal Ramadan lebih meriah.
Ahli keluarganya, Surhaini Mohd Saidi, 47, yang menetap di Melaka berkata, peluang pulang pada awal Ramadan bukanlah perkara mudah buat dirinya sekeluarga atas dasar komitmen seharian.
“Lebih lima tahun saya tidak berkesempatan berbuka puasa bersama keluarga di kampung dan pada awal Ramadan kerana kekangan kerja. Saya hanya dapat pulang ketika hampir menyambut Aidilfitri.
“Tahun ini kebetulan cuti agak panjang dan anak-anak pun cuti sekolah, jadi kami sepakat balik kampung lebih awal dan sempatlah kami melakukan ibadah puasa di kampung.
“Memang jarang kami dapat peluang macam ini, ditambah pula usia ayah semakin lanjut memasuki usia 104 tahun,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, suasana berbuka secara berjemaah bersama keluarga besar memberi pengalaman berbeza terutama kepada anak-anaknya yang jarang bertemu saudara mara lain.
Katanya, anak-anaknya seronok kerana dapat berkumpul dan dapat lebih mengenali saudara-maranya yang biasa mereka jumpa pada hari raya dalam tempoh tidak lama.
Sementara itu, Mazlan Chik @ Jusoh, 50, berkata, komitmen sebagai pendidik menyebabkan dia sukar meluangkan masa pulang ke kampung pada awal Ramadan.
“Kebiasaannya keluarga besar Mat Zin akan merancang majlis berbuka puasa pada penghujung Ramadan apabila masing-masing sudah mula mengambil cuti.
“Selalunya kami berkumpul hujung Ramadan tapi tahun ini kami ubah sedikit, buat awal kerana cuti sekolah dan cuti panjang serentak, memang sesuai untuk atur pertemuan lebih awal,” katanya.
Mazlan berkata, perubahan itu memberi kelainan dan mencetuskan rasa lebih teruja dalam kalangan ahli keluarga kerana suasana Ramadan dapat dirasai lebih awal ditambah pula lebih ramai ahli keluarga dapat berkumpul.
Sementara itu, Mat Zin berkata, kepulangan sebahagian anak, cucu, cicit dan piut memeriahkan suasana awal Ramadan tahun ini di kediamannya.
“Alhamdulillah, kami sempat menunaikan rukun Islam keempat bersama-sama dan menikmati berbuka puasa bersama.
“Biasa ia berlaku pada hujung Ramadan namun kali ini sedikit berbeza kerana dapat berkumpul awal dan saya berharap ukhuwah sesama ahli keluarga dapat dikekalkan,” katanya.
Menurutnya, ia detik yang jarang dinikmati kerana kebiasaannya masing-masing sibuk dengan urusan kerja dan komitmen harian selain tinggal berjauhan. – Metro
