Home NegeriCandat darat semakin popular di pantai Terengganu

Candat darat semakin popular di pantai Terengganu

oleh suara timur

KUALA NERUS: Bermodalkan sebatang joran dan pelbagai variasi mata candat sudah memadai untuk melakukan aktiviti candat darat yang kini semakin popular di Terengganu.

Pengendali Facebook Eging Malaysia yang juga Penasihat dan Duta Eging Malaysia, Azrul Abaz, 54, berkata, candat pesisir kini dilihat semakin menjadi pilihan utama pemancing di negeri ini.

Apabila tiba musimnya iaitu pada April dan Mei, sepanjang pantai di negeri ini akan menjadi lokasi tumpuan bagi ‘kaki eging.’

Katanya, candat darat hanya berlangsung selama dua bulan berbanding candat laut iaitu dari Januari hingga Ogos.

banner

“Eging ialah teknik memancing sotong yang berasal dari Jepun, menggunakan umpan tiruan khas dipanggil ‘egi’ (berbentuk udang).

“Sejarahnya bermula dari kaedah tradisional Jepun yang direka untuk meniru pergerakan udang iaitu makanan utama sotong yang

kemudiannya berevolusi menjadi teknik casting moden yang dilakukan di tepi pantai atau di atas bot,” katanya yang juga Penasihat Persatuan Pemancing Terengganu (TFA) dan Yamashita Malaysia.

Menurutnya, antara spesies sotong yang boleh diperoleh melalui aktiviti candat pesisir iaitu sotong jarum, kapas, torak, ketupat dan mabang atau mengabang.

Katanya, kebiasaannya spesies sotong jarum mudah diperoleh melalui aktiviti candat darat dan sotong berkenaan berada berhampiran pantai untuk mendapatkan makanan seperti udang baring dan anak ikan terutama selepas musim monsun.

“Selain itu, sotong juga berada di kawasan berhampiran pantai untuk bertelur setiap kali tiba musimnya,” katanya yang biasanya dilakukan antara jam 6.30 petang hingga ke lewat malam. – Metro




Tinggalkan komen