KUALA TERENGGANU: Penyokong Selangor FC yang ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat apabila membakar suar, semalam, dikenakan tindakan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Tindakan itu diambil selepas mereka mengeluarkan kenyataan, ‘Takkan hendak bakar suar dalam hutan, hendak bagi beruk tengok ke?’, apabila ditanya polis sebab mereka berbuat demikian.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, selain itu pihaknya turut menjalankan siasatan mengikut kesalahan berkaitan penyalahgunaan dan memiliki dadah.
Katanya, seramai 24 daripada 33 penyokong Selangor FC yang ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam di Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge) petang semalam itu turut didapati positif dadah, termasuk tiga individu memiliki ganja dan erimin 5.
Beliau berkata, kesemua individu itu ditahan pada jam 8 malam sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi bagi mendapatkan perintah reman.
Beliau berkata, kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu di bermula dari hadapan Mayang Mall melintasi Jambatan Angkat menghala ke pantai Seberang Takir Kuala Terengganu jam 6.30 petang semalam.
“Mereka antara 412 penyokong yang ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk menjalani pemeriksaan saringan air kencing.
“Pemeriksaan mendapati tiga individu memiliki ganja seberat 19.1 gram dan erimin 5 seberat 0.37 gram. sembilan lagi ditahan kerana memiliki suar dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala semua suspek disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 dan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Katanya, tujuh daripada yang ditahan adalah pelajar universiti awam, dua pelajar universiti swasta, termasuk seorang pelajar sekolah menengah.
Mohd Khairi berkata, selain itu, pihaknya turut merampas sebanyak 70 batang suar pelbagai saiz dengan 54 daripadanya sudah dinyalakan manakala 16 lagi belum digunakan, dengan nilai keseluruhan RM7,500.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Katanya, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, Seksyen 186 dibuka kerana mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya kepada penjawat awam apabila ditanya kenapa membakar suar.
“PDRM kontinjen Terengganu tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas terhadap sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan kekacauan atau membahayakan nyawa orang awam,” katanya.
Semalam, tular beberapa video menunjukkan penyokong Selangor FC berarak dari Bandaraya Kuala Terengganu menuju Seberang Takir sambil membawa bendera pasukan dan menyalakan suar, mencetuskan perdebatan di laman sosial.
Terdahulu seramai 33 penyokong bola sepak Selangor itu dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman susulan kejadian itu
Majistret Iffah Nabihah Ishak membenarkan tiga suspek yang memiliki dadah direman empat hari, manakala selebihnya direman tiga hingga empat hari bermula hari ini. – Metro
