KUALA TERENGGANU: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu, Datuk Hanafiah Mat, 66, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan membabitkan dua anaknya.
Tertuduh yang juga Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Azman Mustafa.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) telah menggunakan kedudukan untuk suapan bagi anaknya Mohd Najmi Hanafiah dan Ahmad Kamil Hanafiah.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat EPIC Berhad, Tingkat 2, Bangunan Annexxe, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong, pada 15 Ogos 2018 dan 18 Jun 2020.
Bagi kedua-dua perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa SPRM Rabiatul Addawiyah Mohd Noorlee manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fadly Hashim.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 April untuk sebutan semula kes.
Selain itu, tertuduh juga perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu sebelum 5 hari bulan setiap bulan.
Terdahulu peguam tertuduh memohon pasport antarabangsa anak guamnya tidak diserah kepada mahkamah atas alasan tidak berisiko melarikan diri.
Selain itu, tertuduh juga sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan juga mempunyai tanggungan dua isteri serta 13 orang anak. – Metro
