JITRA: Sepasang suami isteri bersama empat anak mereka berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun, dilaporkan hilang sejak semalam selepas bermalam di rumah seorang ahli keluarga di Taman Aman, dekat sini.
Nur Adliah Shuhada Ishak, 20-an, berkata terdahulu abangnya, Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, bersama isteri, Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, dan anak mereka dari Jerlun telah datang bermalam di rumah beliau, kelmarin.
Katanya, keluarga itu memang selalu bermalam di rumah beliau dan lazimnya akan pulang pada awal pagi sebelum Mohd Azim Ezzat yang bertugas sebagai pengawal keselamatan masuk kerja.
Semalam, beliau berkata, enam beranak itu didapati tiada di rumahnya kira-kira jam 5.30 pagi dan disangka mereka sudah pulang ke Jerlun di mana Mohd Azim Ezzat tinggal bersama mentua.
“Abang ada lima anak tetapi kali ini, anak sulung perempuan berusia 12 tahun tidak ikut datang dan tinggal di rumah neneknya di Jerlun.
“Malam kelmarin, kami bersembang macam biasa saja. Abang dan kakak ipar tidak pernah bercerita pula sama ada mereka ada masalah atau tidak.
“Pada mulanya, saya menyangka mereka sudah balik ke Jerlun tetapi ibu mentua abang menelefon saya memberitahu mereka tidak sampai menyebabkan saya bimbang akan keselamatan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nur Adliah Shuhada memaklumkan bahawa Mohd Azim Ezzat sepatutnya masuk kerja pada pagi semalam, manakala isterinya pula berniaga.
Katanya, beliau berasa tidak sedap hati apabila usaha berulang kali untuk menghubungi telefon bimbit abang dan kakak iparnya itu tidak berhasil hingga kini.
“Pagi tadi, ada orang menghubungi saya dan beritahu terdapat sebuah kereta Proton Saga versi lama ditemui dalam Sungai Korok. Saya terus bergegas ke tempat kejadian bersama beberapa ahli keluarga yang lain.
“Setiba di sana, kami mendapati nombor pendaftaran kereta yang ditemui dalam sungai itu tidak sama dengan kereta abang,” katanya.
Justeru, Nur Adliah Shuhada berkata, beliau membuat laporan di Balai Polis Jitra berhubung kehilangan enam beranak itu.
Sambil menjelaskan bahawa abang dan kakak iparnya tidak pernah gagal dikesan sebelum ini, beliau berharap sesiapa yang menemui mereka agar menghubunginya segera melalui talian 011-64408196 atau 011-60816922.
“Saya risaukan anak-anak abang, terutama yang bongsu baru berusia enam bulan, manakala tiga lagi masih bersekolah.
“Kami akan terus berusaha mencari mereka di laluan sering dilalui sepanjang kawasan Sungai Korok, selain menghebahkan kehilangan itu melalui Facebook,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim, ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan semalam berhubung kehilangan pasangan suami isteri itu bersama bayi mereka berusia enam bulan dan tiga lagi anak berumur sembilan, lapan dan tujuh tahun. – Berita Harian