Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang penjawat awam berusia 40 tahun mengalami kerugian RM85,000 selepas terpedaya dengan penipuan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, mangsa telah menyertai pelaburan dalam perniagaan pelancongan dalam talian yang diperkenalkan oleh seorang wanita warganegara Indonesia yang dikenalinya melalui laman sosial.
“Mangsa telah membuat lapan transaksi bermula 19 Jun hingga 24 Jun lalu ke dua akaun bank berbeza dengan
jumlah keseluruhan sebanyak RM175,510.00.
“Daripada jumlah tersebut, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak
RM90,510 menyebabkan kerugian berjumlah RM85,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian pada 25 Jun lalu.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Suara Timur