SEREMBAN: Akibat tersalah orang, pelajar tingkatan lima dipercayai dibelasah beramai-ramai hingga parah dalam kejadian di Paroi, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun, mengalami patah tulang pipi, patah tulang hidung, luka pada kepala, pendarahan mata dan kecederaan pada badan.
Bapanya yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian dibelasah, berlaku pergaduhan pada 12.30 tengah malam yang tidak serius antara rakan anaknya di Taman Perwira namun anaknya tidak terlibat.
Katanya, dia dimaklumkan salah seorang individu yang terbabit pergaduhan itu dikenali Adam terbabit kemalangan di Senawang ketika dalam perjalanan pulang selepas pergaduhan terbabit dan koma.
“Adik-beradik Adam syak kemalangan berpunca daripada pergaduhan itu dan dakwa anak pun terbabit. Saya tidak pasti bagaimana mereka dapat maklumat dan dakwaan ini,” katanya ketika ditemui.
Jelas lelaki berusia 50-an itu, apa yang menyebabkannya kecewa adalah mereka mengambil tindakan sendiri tanpa usul periksa dan memperlakukan anaknya tanpa belas kasihan.
“Adik-beradik Adam, kumpul dengan rakan dan mula membawa anak serta tiga lagi remaja secara bergilir-gilir. Anak saya orang yang terakhir dibawa menaiki kereta ke satu lokasi di Paroi.
“Di dalam kereta, dia dipukul dan setibanya di Paroi, kira-kira 20 lelaki berusia 20-an sedang menunggu. Dia dipukul beramai-beramai sehingga terkencing dalam seluar.
“Selepas dibelasah, anak saya dibawa berjumpa dengan keluarga Adam dan kebetulan terdapat beberapa kawan Adam yang berada di lokasi pergaduhan awal (dan) mengesahkan anak saya tidak terbabit,” katanya
Dakwanya, selepas dimaklumkan demikian, keluarga Adam ada meminta maaf dan membawa anaknya ke klinik swasta untuk rawatan.
“Mereka tidak berani bawa ke hospital kerajaan. Saya difahamkan juga klinik swasta memberikan surat rujukan ke hospital, namun surat itu tidak diserahkan kepada anak saya,” katanya.
Jelasnya, anaknya menghubunginya pada 3 pagi selepas dihantar semula ke Taman Perwira, tetapi ketika itu hanya memaklumkan mahu tidur di rumah kawan.
“Saya pelik dan selepas didesak, anak mengaku terbabit kemalangan. Saya tidak bertanay lanjut kerana keadaannya tetapi ada rasa tidak kena, sehinggalah kira-kira 12.30 tengah hari semalam, guru sekolahnya menghubungi saya dan maklumkan yang anak sebenarnya tidak terbabit kemalangan.
“Saya buka telefon bimbit anak dan jumpa gambar dia dibelasah serta baca perbualan rakan-rakannya di dalam WhatsApp. Memang sah dibelasah dan saya terus buat laporan polis,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan doktor, kecederaan pada muka anaknya mungkin disebabkan objek, selain ditendang pada bahagian badan.
“Saya berharap pihak polis menyiasat perkara ini dengan telus dan membawa suspek ke muka pengadilan. Saya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan masih menjalankan siasatan lanjut. – Harian Metro