KUANTAN: Video tular memaparkan kawasan lombong yang didakwa sebagai lombong emas haram di Raub sebenarnya dirakam di sebuah lombong bijih besi di Sungai Petani, Kedah.
Pemilik video berkenaan, Md Jekri Mohd Hassan berkata, rakaman itu dibuat pada 8 April lalu ketika beliau menjalankan ujian ke atas mesin baharu di lombong terbabit.
Menurutnya, video berkenaan dimuat naik ke akaun TikTok miliknya, Jack Hassan, dua hari kemudian atas sekadar suka-suka.
“Tidak sangka ada pihak mengambil video itu tanpa kebenaran, kemudian menyunting serta memanipulasinya untuk dijadikan bahan fitnah,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Md Jekri berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan video itu tular dengan pelbagai dakwaan palsu, termasuk kononnya ia menunjukkan operasi perlombongan emas haram di Raub.
“Berkemungkinan isu itu tengah hangat sekarang jadi ada pihak menggunakan video tersebut untuk menyebar fitnah kepada pihak-pihak berkaitan.
“Saya kesal dan tidak puas hati dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak-pihak terlibat. Sepatutnya mereka minta kebenaran. Paling penting tanya kesahihannya bukan terus ambil dan guna secara tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Jelasnya, satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat.
“Saya tidak mahu video ini menjejaskan kehidupan harian atau mengganggu operasi lombong yang dijalankan secara sah,” katanya lagi. – Sinar Harian