Mahkamah dan Jenayah

Sindiket eksploitasi warga emas tempatan kahwin warga asing, kenakan bayaran RM50-RM500 setiap permohonan

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menumpaskan sindiket yang disyaki mengeksploitasi warga emas tempatan untuk dikahwinkan dengan warga asing, dalam serbuan operasi khas di Putrajaya, kelmarin.

Operasi bermula jam 9.19 pagi itu dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, susulan maklumat awam serta risikan selama dua minggu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata pasukan berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia 30 hingga 66 tahun dalam serbuan itu.

Katanya, empat daripada suspek terbabit dipercayai adalah dalang utama sindiket itu, manakala seorang lagi disyaki berperanan sebagai orang tengah.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai menawarkan perkhidmatan permohonan status isteri kepada warganegara, selain perkhidmatan berkaitan perkahwinan antara warga tempatan dengan warga asing.

“Sindiket berkenaan disyaki mengeksploitasi warga emas tempatan di sekitar Lembah Klang untuk dikahwinkan dengan warga asing, dan mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM500 bagi setiap permohonan.

“Sindiket itu dipercayai sudah beroperasi selama setahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam operasi itu, Zakaria berkata, pasukan turut merampas pelbagai dokumen dan peralatan berkaitan yang dipercayai digunakan dalam urusan sindiket terbabit.

Antara hasil rampasan ialah 22 pasport China, tujuh pasport Bangladesh, enam pasport Malaysia, tiga pasport Indonesia, dua pasport Vietnam dan masing-masing satu pasport Myanmar serta Macau.

“Turut dirampas ialah sebuah komputer riba, dua mesin pencetak, 26 fail mengandungi dokumen berkaitan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dua beg galas, wang tunai RM3,070 serta dua kenderaan jenis Perodua Bezza dan Honda CRV.

“Kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, dan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Zakaria menegaskan pihaknya komited memperhebatkan usaha penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang yang boleh menjejaskan sistem keselamatan negara.

“Imigresen akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara kekal terpelihara demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – Berita Harian

Related Posts