Mahkamah dan Jenayah

Guru bongkar kes murid didera ibu bapa, dikurung dalam sangkar

BALIK PULAU – Sepasang suami isteri diberkas polis bagi membantu siasatan kes penderaan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di sebuah rumah di Sungai Ara, di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada guru besar sekolah murid Tahun Enam berkenaan pada Selasa.

Menurutnya, susulan daripada itu, polis menahan pasangan suami isteri berusia 47 dan 49 tahun itu di rumah mereka.

“Kejadian terbongkar selepas kaunselor sekolah mendapati murid perempuan itu kelihatan dalam kesakitan ketika berada di sekolah.

“Selepas disoal siasat dan diperiksa, kaunselor terbabit menemui kesan kecederaan di belakang badan mangsa.

“Susulan penemuan itu, kaunselor telah memaklumkan kepada guru besar yang kemudiannya membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sazalee berkata, mangsa yang merupakan anak kedua pasangan terbabit kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, kanak-kanak itu memberitahu bahawa dia telah beberapa kali dipukul dengan rotan sejak dua tahun lalu.

“Mangsa mendakwa, kejadian terbaru berlaku pada Ahad lalu apabila dia tersilap meletakkan makanan di dalam almari pakaian. Kanak-kanak itu juga mendakwa pernah dikurung di dalam sangkar anjing.

“Kita turut merampas rotan yang digunakan untuk siasatan lanjut sementara pasangan suami isteri yang bekerja sebagai pengurus dan jurutera di dua buah kilang di sini direman bagi membantu siasatan,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – Sinar Harian

Related Posts