KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap seorang anggota polis berpangkat koperal kerana menerima rasuah sebanyak RM1,150 sebagai dorongan untuk tidak menahan suspek dalam kes narkotik.
Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu setelah Azizol Affendi Rusli, 36, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan jika gagal bayar, boleh dipenjara dua bulan manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Azizol didenda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama, Azizol sebagai penjawat awam didakwa menerima wang RM800 melalui pemindahan dalam talian ke akaun bank milik isterinya pada 12 Disember 2023 sebagai balasan tidak menahan seorang suspek kes narkotik.
Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang RM200 pada 17 Mac 2024 melalui pemindahan dalam talian ke akaun bank miliknya juga sebagai dorongan untuk tidak menahan suspek yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, Azizol juga didakwa menerima wang RM150 pada 9 April 2024, sekali lagi bagi tujuan membantu suspek daripada ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas Akta Dadah Berbahaya 1985.
Kesemua pertuduhan alternatif itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM4,000 terhadap tertuduh selepas mengambil kira pengakuan bersalah yang direkodkan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee dibantu Pegawai Pendakwa, Fatiha Abdul Shatar manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Metro
