Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang pemilik kedai runcit didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjual rokok dalam paket yang telah dibuka pada Ogos lalu.
Muhamad Zikri Harun, 30, selaku orang kena saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati menjual produk tembakau jenis rokok John White dalam paket yang telah dibuka.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 10.30 pagi di kedai runcit miliknya di Jalan Pengkalan Binjai, pada 19 Ogos 2025.
OKS didapati telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 10 (1), Akta 852 dibaca bersama Peraturan 5 (b) Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024 [P.U. (A) 260] iaitu gagal mematuhi kehendak syarat penjualan produk merokok iaitu menjual produk tembakau dalam paket yang telah dibuka.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 10 (2) (a) (i) akta yang sama iaitu didenda tidak melebihi RM20,00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Mohd Nasir Mohd Shaari dan Mohd Azman Mohd Ramli.
Turut hadir Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Alias Awang Kechik.
Sebelum ini, taktik menjual produk tembakau dalam paket yang telah dibuka bagi menarik pembeli terbongkar selepas pasukan penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan serbuan di premis tersebut.
Menurut fakta kes, seramai enam orang pegawai diberikuasa di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, (Akta 852) telah pergi ke premis perniagaan tersebut.
Hasil geledahan menemukan empat batang rokok dalam paket yang telah dibuka jenama John White dan telah disita bersama satu batang rokok yang telah dibeli oleh pegawai penyamaran yang diberi kuasa.
Satu batang rokok yang dibeli dan 4 batang rokok yang disita tersebut ke dalam plastik lutsinar, dilabelkan, TRG 13617 (A) dan TRG 13617 (B) dan dilak dengan lak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kedua-dua barang kes tersebut dihantar ke Jabatan Kimia Kuala Terengganu bagi analisis pengesahan produk tembakau.
Pegawai yang diberi kuasa kemudian mengeluarkan notis memerintahkan kehadiran di mahkamah, senarai barang yang disita dan perakuan belian tunai. Pegawai yang diberi kuasa telah menerangkan kesalahan yang berlaku kepada pemilik premis dan diperakui penerimaannya.
Laporan Perakuan Juruanalisis bertarikh 17 September 2025 telah mengesahkan bahawa produk tembakau yang disita setelah dianalisis mempunyai ciri-ciri daun tembakau dan merupakan produk tembakau. – Suara Timur
